Pelajar Warga Libya Didakwa Bunuh Pekerja TM Unifi

SEPANG – Seorang pelajar Libya hari ini didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan melakukan bunuh dan menyebabkan kematian ke atas seorang pekerja Telekom Malaysia Bhd. (TM) Unifi di Shaftsbury Square, Cyberjaya.

Tertuduh, Ahmed Abdullah Ali, 24, didakwa menyebabkan kematian Wan Amirah Wan Alias, 31, di Shaftsbury Square, Cyberjaya pada 7.35 malam 17 Oktober lalu.

Pelajar tahun akhir di sebuah universiti antarabangsa itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Tertuduh mengangguk faham apabila pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret Yusna Khadijah Md Yusop.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mahkamah menetapkan 7 Disember ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia, bedah siasat dan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV).

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aziat Afrizan Alias manakala tertuduh diwakili Mohd. Redzuan Mohamed Yusoff, Nur Siti Fairuz Roslan dan Dinesh Muthal.

Dalam kes langgar lari pada 17 Oktober itu, yang video kejadian tersebut tular, Wan Amirah yang merupakan Penolong Pengurus GTM Event Sales meninggal dunia selepas dibawa ke Hospital Putrajaya untuk menerima rawatan lanjut.

Di Mahkamah Sesyen Sepang pula, Ahmed Abdullah didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dibaca bersama Seksyen 38B akta sama.

Menurut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memasukkan dadah jenis 11-Nor-Delta-9-Tetrahydrocannabinol-9-Carboxylic Acid ke dalam dirinya pada 19 Oktober lalu. – Bernama

One thought on “Pelajar Warga Libya Didakwa Bunuh Pekerja TM Unifi

  • October 31, 2018 at 12:35 am
    Permalink

    Inilah pembunuhnya?? Mesti dihukum seberat2nya..!! Kurang ajar? Biadap org asing !! Jgb beri muka!!

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.