Kontroversi Piala Malaysia Dicelah Kaki, Exco Perak Mohon Maaf

KUALA LUMPUR – Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri Perak, Hasnul Zulkarnain Munaim secara terbuka memohon maaf kepada rakyat Malaysia selepas dikritik pelbagai pihak ekoran tindakannya bergambar dengan trofi Piala Malaysia diletakkan dicelah kaki beliau.

Memetik laporan Bernama, Hasnul yang juga ketua Pemuda Amanah Negara (Amanah) Perak, berkata beliau tiada niat untuk menjatuhkan martabat serta keunggulan piala kebanggaan peminat bola sepak negara itu apabila bergambar sedemikian.

“Itu kelemahan saya sendiri, pertama kali Perak menang Piala Malaysia (selepas 18 tahun) dan saya teruja lalu terkongsi gambar dalam status Whatsapp.

“Saya berjanji tidak akan mengulangi kekhilafan itu,” katanya.

Terdahulu beberapa foto beliau bergambar bersama trofi Piala Malaysia di tepi kolam mengundang kontroversi dan kecaman orang ramai termasuk netizen yang menganggap aksi meletakkan piala berprestij di celah kaki sebagai tindakan yang tidak wajar dilakukan sesiapa.

Berita Berkaitan;-
Netizen Kecam Exco Perak Perlakukan Piala Malaysia Macam Hak Peribadi

“Perghh… Piala Malaysia di celah kangkang.. Tahun depan kalo Negeri lain jadi juara.. Jangan cium piala ni,” kata Mohd Aliph Rosli di laman Facebook.

“Hinanya Piala Malaysia yang hanya layak diletakkan di celah kangkang dan di ceruk dapur menemankan anak2 YB ni makan mi segera. Memang betullah bidalan ‘macam kera dapat bunga’,” kata Khusairi Talib pula.

“Memang la Piala Malaysia bukan ‘benda suci’ yg perlu di puja,disembah,di amalkan.Namun meletakkan Piala berkenaan di celah kangkang,adalah sangat TIDAK WAJAR. Aku seorang bekas atlet,kalau tanggalkan medal selepas terima pun aku kena tegur,inikan pula nak buat Piala macam ni,” ujar Harris Muhammad.

Sementara itu, Hasnul yang memikul kedudukan Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) sejak Julai lalu turut mengulangi kenyataan agar tiada lagi pihak yang mempertikaikan kejayaan Perak memenangi Piala Malaysia.

“Pengadil sudah membuat keputusan dalam perlawanan itu dan ia muktamad, jadi terimalah hakikat Perak adalah juara,” katanya. — SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.