“Kalau Tak Boleh Tunaikan Janji, Tak Payah Menipu”, Najib Sindir Maszlee

SHAH ALAM – Isu pendidikan percuma terus hangat apabila Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak saling berbalas kenyataan dengan Menteri Pendidikan.

Terbaru, Najib dalam satu posting di Facebook menyanggah hujah Ahli Parlimen Simpang Renggam itu yang membangkitkan isu RM2.6 bilion sebagai alasan mengapa pendidikan percuma tidak dapat dilaksanakan sehingga kini. 

Najib menyifatkan isu RM2.6 bilion yang dibangkitkan Maszlee sebagai cubaan menteri itu untuk menipu rakyat yang menggunakan pendakwaan di mahkamah sebagai bahan fitnah.

“Selepas menipu rakyat mengenai PTPTN dan janji pendidikan percuma, pagi tadi Menteri PH ini pula mahu menipu mengenai isu RM2.6b.

“Untuk makluman Menteri ini, saya sudah dituduh di Mahkamah kerana menerima wang ini dan saya juga dituduh secara rasmi dengan 5 dakwaan (pemulangan dipecahkah kepada 5 kali atas kehendak bank untuk mengurangkan kesan kepada pasaran FOREX) kerana memulangkan wang ini kepada akaun penghantar 4 bulan selepas menerimanya, iaitu telah “return to sender”.

“Sudah 6 bulan selepas barang-barang dirampas dan tidak ada satu tuduhan yang mendakwa wang RM2.6b itu digunakan untuk membeli beg tangan, cincin dan sebagainya,” katanya.

Terdahulu, Maszlee dalam hantaran di Facebook beliau berkata jika duit rakyat tidak digunakan untuk membeli barangan berjenama Bijan, beg tangan berjenama Hermes dan segala cincin berlian kepada isteri dan keluarga, pendidikan percuma boleh dikecapi hari ini.

Maszlee juga mendakwa RM42 bilion yang ‘ditelan’ 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) boleh menampung kos pendidikan percuma berkualiti dari peringkat tadika hingga universiti peringkat ijazah pertama beserta makanan dan pengangkutan percuma kepada semua pelajar untuk empat tahun.

Najib yang mengulas lebih lanjut kemudian ‘menasihatkan’ Maszlee agar tidak perlu untuk menipu sekiranya tidak boleh melaksanakan janji untuk menyediakan pendidikan percuma sebagaimana yang dicanang Pakatan Harapan (PH) sebelum ini. 

“Adakah peranan menteri pendidikan kita adalah untuk mendidik rakyat menipu dan menfitnah. Inikah pendidikan “percuma” yang dimaksudkan itu?

“Kalau tak boleh tunaikan janji, tak payah untuk menipu dan menggunakan saya sebagai alasan,” katanya lagi.

Berkenaan kes 1MDB, Najib berkata perkara itu sudah dijelaskan di Parlimen baru-baru ini, malangnya Maszlee dan pemimpin PH tiada di Dewan Rakyat ketika itu. 

“Bagi kes 1MDB, saya sudah berhujah di dalam parlimen (ketika anda semua hilang) dan juga menulis dua kali minggu lalu bahawa perjanjian penyelesaian dengan IPIC ialah jalan untuk menyelesaikan masalah.

“Saya telah beberapa kali meminta kerajaan untuk mendedahkan kedua-dua perjanjian penyelesaian tahun 2015 dan tahun 2017 jika benar-benar mahu menegakkan keadilan kepada saya dan rakyat tetapi kerajaan PH masih lagi membisu. Kenapa?,” katanya lagi. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.