“Kalau Melayu Dan Pribumi Lemah, Bantu… Bukan Buang Konsep Ketuanan Melayu”

SHAH ALAM – PPBM sebagai salah satu parti gabungan yang membentuk kerajaan hari ini sewajarnya membantu kaum Melayu dan Peribumi sekiranya merasakan kaum itu lemah, bukannya berterusan mengeluarkan kenyataan berbaur provokasi.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ini kerana PPBM sebelum ini pernah menyatakan bahawa UMNO gagal untuk menjaga orang Melayu, oleh itu parti berkenaan  perlu tampil untuk menjadi pembela kaum itu.

“Bersatu (PPBM) lantang menyatakan bahawa UMNO telah gagal menjaga orang Melayu. Jadi, sepatutnya Bersatu tampillah menjadi pembela orang Melayu dan Peribumi, selari dengan nama dan slogan perjuangan parti mereka sendiri. 

“Melainkan istilah ‘peribumi’ dalam PPBM itu tidak lebih sekadar sogokan dan nama yang tidak ada apa-apa erti. 

“Kalau Melayu dan Peribumi lemah, bantu. Kalau ekonomi serta pendidikan Melayu dan Bumiputera lemah, bantu. Bukan menyerang dan membuang konsep Ketuanan Melayu, yang selama ini tidak ada masalah pun,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook. 

Beliau berkata demikian susulan kenyataan yang dikeluarkan Ketua Armada PPBM yang juga Menteri Belia Dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Syed Saddiq baru-baru ini mencetuskan satu polemik apabila mengeluarkan satu kenyataan tentang zaman ketuanan Melayu telah berakhir dan Malaysia sedang bergerak ke arah fasa baharu yang memperjuangkan kesaksamaan. 

Mengulas lanjut, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Tokmat berkata, isu Ketuanan Melayu adalah perkara tunjang dalam Perlembagaan Negara yang mana ia bukan isu remeh, malah perlu difahami semua pihak.

“Sebaliknya, kelihatan semua lebih suka melakukan provokasi berhubung perkara-perkara asas negara kita.

“Ketuanan Melayu misalnya. Ini bukan perkara baharu.

“Dan ini bukan perkara kecil dan remeh. Ini asas negara ini. Ini tunjang Perlembagaan Persekutuan dan rujukan dalam membentuk kontrak sosial,” katanya lagi. 

“Melainkan Bersatu sendiri sebenarnya tidak faham apa itu Ketuanan Melayu dan perjuangan membela Peribumi yang menjadi struktur asas Perlembagaan Persekutuan.

“Jangan marahkan nyamuk, kelambu dibakar. Jangan marahkan pemimpin Melayu, ketuanan bangsanya yang dicabar,” kata bekas Menteri Besar Negeri Sembilan. 

Kenyataan Syed Saddiq itu sebelum ini turut mengundang kritikan pelbagai pihak kerana pemimpin muda itu didakwa tidak memahami konsep Ketuanan Melayu.

Timbalan Presiden PERKASA, Datuk Sirajuddin Salleh berkata, amat malang bagi orang Melayu kerana mempunyai pemimpin seperti Syed Saddiq yang tidak mahu membela bangsanya sendiri sebaliknya ingin menghapuskan ketuanan Melayu. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.