Ahli Parlimen tersebut berkata, beliau langsung tidak mempunyai niat menyentuh remaja tersebut selain memaklumkan sudah lama mengenali keluarganya yang telah bertindak membuat laporan polis selepas itu.

“Ini semua salah faham sahaja antara mereka. Sewaktu kejadian yang kononnya didakwa cabul itu bukan berlaku di tempat yang sunyi tetapi di kawasan khalayak ramai.

“Saya tidak mahu panjangkan perkara ini kerana kasihan kepada pelajar itu dan dia ada masa hadapan yang cerah,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Polis negeri ini hari ini mengesahkan menyiasat seorang Ahli Parlimen kerana disyaki mencabul seorang gadis bawah umur baru-baru ini, walaupun laporan polis terhadap lelaki tersebut telah ditarik balik.

Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Mohd. dilaporkan berkata, pihaknya menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa kes tersebut telah ditutup.

Menurut beliau, pihaknya juga telah memanggil beberapa orang saksi bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Semalam, Pengerusi MyWatch, Datuk R Sri Sanjeevan menerusi Twitter miliknya mendakwa ada pihak yang cuba menutup kes tersebut.

Sementara itu, Ahli Parlimen tersebut berkata, beliau tidak mahu memanjangkan perkara tersebut kerana kes berkenaan masih dalam siasatan polis.

Dalam masa sama, beliau juga menafikan memberi sogokan kepada keluarga remaja tersebut sehingga mereka menarik balik laporan terhadapnya. – UTUSAN ONLINE