Berhenti Keluarkan Kenyataan Bodoh & Biadap – Mohamad

SHAH ALAM: Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dinasihatkan untuk berhenti mengeluarkan kenyataan bodoh dan biadap berhubung isu masyarakat Melayu.

Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata, sebagai pemimpin muda, Syed Saddiq perlu berhati-hati serta jangan terlalu ghairah bercakap tanpa memahami asas masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

“Apa tujuan dia (Syed Saddiq) keluar kenyataan sebegini? Dia kena baca sejarah dahulu, jangan main cakap sahaja. Tengok asas pembinaan negara dari merdeka sehinggalah ke hari ini.

“Dia cakap ketuanan Melayu sudah berakhir. Apakah yang dimaksudkan sudah berakhir? Adakah selepas ini semua perkara berkaitan masyarakat Melayu akan dihapuskan? Dia kena jelaskan maksud kenyataannya,” katanya kepada NSTP di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad berkata, kerajaan sepatutnya merangka dasar baharu untuk masyarakat Melayu, bukannya menghapuskan ketuanan Melayu.

Katanya, kerajaan diingatkan jangan sesekali meminggirkan masyarakat Melayu yang menjadi bangsa majoriti di negara ini.

“Selama 450 tahun orang Melayu dijajah selepas kejatuhan kerajaan Melaka. Dalam tempoh dijajah nasib masyarakat Melayu langsung tidak dipedulikan sehinggalah kita mengecapi kemerdekaan pada 1957.

“Kita harus akui bukan mudah untuk kita mengembalikan semula kehebatan masyarakat Melayu selepas beratus tahun dijajah.

“Ya, mungkin beberapa dasar yang dilaksanakan kerajaan terdahulu kurang berkesan. Jadi kerajaan baharu perlu ubah cara pelaksanaan agenda untuk bantu masyarakat Melayu,” katanya.

Sebelum ini, Syed Saddiq yang juga Ketua ARMADA Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) ketika berucap pada Forum Ekonomi Belia di Ibu Pejabat Suruhanjaya Sekuriti Malaysia didakwa menegaskan zaman ketuanan Melayu sudah berakhir dan Malaysia bergerak ke arah fasa baharu yang memperjuangkan kaum.

Ucapan Ahli Parlimen Muar itu kemudiannya menjadi tular sehingga melahirkan perasaan bimbang terutama dalam kalangan masyarakat Melayu. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.