Australia Haramkan Pegawai Naik Pesawat Lion Air

AUSTRALIA mengeluarkan arahan menasihatkan pegawai dan kakitangan kerajaan negara itu tidak menggunakan perkhidmatan Lion Air susulan nahas membabitkan pesawat JT610 pagi semalam ketika dalam penerbangan dari Jakarta ke Pangkal Pinang di Bangka Belitung.

“Susulan nahas pesawat Lion Air pada 29 Oktober 2018, pegawai kerajaan Australia dan kontraktor diarah tidak menaiki penerbangan syarikat itu.

“Keputusan akan dinilai semula apabila siasatan berhubung kemalangan itu sudah jelas,” menurut kenyataan di laman web Jabatan Hal Ehwal Luar dan Perdagangan Australia.

Pengawal trafik udara hilang hubungan dengan penerbangan JT610 Lion Air pada jam 6.33 pagi semalam, sejurus pesawat itu berlepas pada 6.20 pagi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta.

Kapal terbang itu, yang membawa dua juruterbang, enam kru dan 181 penumpang termasuk tiga kanak-kanak, terhempas di Laut Jawa, tujuh batu nautika ke utara pantai Tanjung Bungin di Karawang, Jawa Barat.

Pasukan mencari dan menyelamat dihantar ke lokasi kejadian.

Antara penumpang ialah pegawai pelbagai kementerian, termasuk Kementerian Kewangan.

Menterinya, Sri Mulyani Indrawati jelas sedih ketika melawat pejabat Agensi Mencari dan Menyelamat Kebangsaan (Basarnas) di Jakarta.

Sri Mulyani berkata, 20 kakitangan dalam pesawat itu dalam perjalanan pulang ke pejabat mereka di Pangkal Pinang selepas menghabiskan masa bersama keluarga atau menghadiri ulang tahun ke-72 Hari Mata Wang di Jakarta hujung minggu lalu.

“Saya amat sedih dengan nasib menimpa pasukan Kementerian Kewangan,” katanya.

Selain itu, seorang pegawai Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan dan empat dari Kementerian Tenaga dan Sumber Mineral berada dalam pesawat berkenaan.

Laporan juga menyatakan, pegawai dari Agensi Audit Agung (BPK) dan majlis perundangan Bangka-Belitung, turut tersenarai sebagai penumpang. – Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.