Ahli Parlimen, Gadis ‘Busker’ Berbual Bersendirian Dalam Kereta, Kata Polis

SHAH ALAM – Kes melibatkan seorang Ahli Parlimen yang didakwa mencabul seorang gadis berlaku ketika kedua-duanya berada di dalam sebuah kereta, demikian pendedahan polis mengenai senario sebenar kejadian berkenaan.

Mendedahkan lebih lanjut, Ketua Polis Perlis Noor Mushar Mohd berkata gadis berusia 15 tahun itu merupakan seorang penyanyi dalam kumpulan ‘busker’, yang mana Ahli Parlimen itu agak lama menaja pasukan busker sekolah itu, lapor FMT.

Pada malam kejadian iaitu 20 Oktober kira-kira 11.30 malam, gadis itu sedang berlatih bersama rakan-rakannya di kawasan sebuah stadium, sebelum Ahli Parlimen itu meminta gadis berkenaan bertemunya dalam kenderaan Toyota Harrier berdekatan tempat latihan diadakan “untuk berbual”.

Guru yang menjalankan latihan membawanya ke kenderaan itu dan pembantu Ahli Parlimen itu membawanya memasuki kereta di bahagian tempat duduk wakil rakyat itu.

Polis berkata Ahli Parlimen dan gadis itu bersendirian dalam kereta itu.

Menurut laporan gadis itu kepada polis, Mushar berkata wakil rakyat itu tiba-tiba menyentuh tangan dan bahunya, dan ditepis gadis itu.

“Dia segera meninggalkan kenderaan itu. Sebaik sahaja dia keluar, dia menangis, disaksikan oleh guru yang membawanya bertemu Ahli Parlimen itu. Gadis itu pernah bertemu Ahli Parlimen itu sebelum ini,” katanya pada sidang media di Kangar, Perlis hari ini.

Mushar berkata gadis itu kemudian membuat laporan di Balai Polis Kangar pada 2.50 pagi (21 Oktober) dengan ditemani ibu bapanya.

“Kemudian pada 10.30 hari yang sama (21 Oktober), remaja itu membuat satu lagi laporan menarik balik dakwaan terhadap ahli Parlimen itu, tanpa paksaan daripada mana-mana pihak. Dia melakukannya secara sukarela,” katanya.

Tambah Mushar, penyiasat dari Bukit Aman hari ini juga telah mengambil keterangan daripada Ahli Parlimen itu. 

Kata Mushar, polis sehingga kini merakamkan 10 keterangan termasuk Ahli Parlimen itu sejak laporan pertama dibuat. 

Justeru beliau meminta semua pihak agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan sehingga boleh menjejaskan siasatan polis.

Sebelum ini, Pengerusi MyWatch Datuk R Sri Sanjeevan mempersoalkan mengapa tiada tindakan diambil terhadap seorang Ahli Parlimen yang didakwa telah mencabul seorang remaja berusia 15 tahun, walaupun laporan mengenainya telah dibuat.

Dalam pada itu Mushar berkata jika gadis itu disogok agar menarik balik laporannya, dia perlu tampil membuat laporan polis supaya ia disiasat.

Buat masa ini kes itu dirujuk kepada bahagian pendakwaan polis persekutuan sebelum dihantar ke peguam negara untuk menentukan sama ada kes itu boleh diambil untuk pendakwaan.

Kes itu disiasat bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.