Zahid Nasihat Datuk Seri Serang RELA Serah Diri

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan seorang Datuk Seri supaya menyerah diri selepas lelaki itu dipercayai mencederakan tiga anggota RELA baru-baru ini.

Ahmad Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata, walaupun Datuk Seri itu belum ditahan ketika ini pihak berkuasa memang tahu lokasi suspek terbabit.

“Jadi sebelum polis menangkap dia, lebih baik dia tampil dan menyerah,” katanya seperti dipetik theSun.

Semalam Malaysiakini menyiarkan laporan mengenai tiga anggota RELA cedera selepas didakwa di pukul seorang Datuk Seri berhampiran sebuah tokong di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Memetik laporan Bernama kejadian itu berlaku kira-kira jam 6.30 pagi membabitkan tiga petugas RELA yang berusia antara 19 hingga 27 tahun.

Mereka dikatakan cedera pada kepala, mata dan perut.

Kekecohan berlaku apabila seorang anggota RELA terbabit meminta sebuah kereta Toyota Vellfire milik suspek dialihkan kerana mengganggu lalu-lintas.

Lelaki itu kemudian marah, menepuk meja serta memaki petugas RELA sebelum mengugut untuk mencederakan mangsa.

Dua rakan mangsa cuba meleraikan keadaan namun suspek didakwa memukul dan menendang mereka.

Kejadian tersebut dirakamkan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) dan laporan polis telah dibuat di Balai Polis Ampang.

Kata Ahmad Zahid polis sudah mengenal pasti suspek berdasarkan rakaman CCTV

“Saya ingin tegaskan bahawa semua orang – sama ada dia mempunyai jawatan atau tidak – tertakluk kepada undang-undang negara ini.

 

“Gelaran tidak memberikan seseorang lesen untuk menyerang orang lain, terutama anggota berpakaian seragam,” katanya.

Difahamkan suspek terbabit baru berusia 29 tahun.-Malaysiakini

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.