Tarik Diri Bersebab

“SAYA tiada masalah untuk bekerja dengan sesiapa sekiranya mereka profesional. Tapi kalau melayan saya kurang baik, memang itu sahaja sempadannya. Jangan melayan orang macam budak-budak dan mengeluarkan kata-kata yang kurang manis,” tegas Izreen Azminda.

Tentu sahaja ‘kehilangan’ wanita ini dalam pementasan teater Kontena 404 sudah diketahui ramai. Dia yang sepatutnya membintangi produksi berkenaan, menarik diri di saat akhir akibat kurang berpuas hati dengan salah seorang tenaga kerja produksi tersebut.

 

Soal ‘budi bicara’ menjadi sebab utama dia nekad untuk menarik diri daripada terlibat dalam pementasan yang diadakan di Lambang Sari, Istana Budaya minggu lalu.

“Soal bayaran memang sudah dipersetujui sejak awal lagi yang pengagihan tersebut akan dilakukan segera. Tapi bila Boy Iman ditahan reman, semuanya jadi kucar-kacir. Ada seorang pekerja mula bercakap acuh tak acuh dengan saya bila ditanya tentang pembayaran yang patut diterima.

Advertisement

“Sejak awal lagi mereka sudah katakan yang wang untuk produksi sudah diasingkan. Apa sahaja yang berlaku kepada syarikat induk, tidak akan menjejaskan pembayaran produksi teater. Tapi sebaliknya pula berlaku. Itu yang membuatkan saya geram.

“Saya bukan budak sekolah nak diherdik sesuka hati. Kita bekerja secara profesional. Kalau dah melayan saya begitu, baik saya cabut. Tak guna lagi nak menunggu,” kata Izreen mendedahkan sebab mengapa dia menarik diri.

Selain Izreen, teater yang diarahkan oleh Raja Azrey itu turut dibintangi oleh Tauke Jambu, Miera Leyana, Adam Shahz dan ramai lagi.

Pun begitu, Izreen mendedahkan yang dia tidak menyalahkan pihak produksi seratus peratus. Apa yang berlaku hanyalah disebabkan oleh seorang individu sahaja yang dianggap kurang profesional dalam menjalankan tanggungjawabnya.

Selain terlibat dalam teater berkenaan, Izreen turut diberikan tanggungjawab sebagai duta kepada produk penjagaan intim wanita di bawah syarikat induk yang sama. Tegasnya, dia masih belum menerima bayaran yang sepatutnya sudah diterima beberapa minggu lalu.

“Memang mereka berjanji mahu membayar wang sebagai duta produk itu dahulu. Jika wang sudah diterima, saya tidak kisah sangat tentang pembayaran untuk teater tersebut. Tapi beberapa hari sebelum teater bermula, tiada pembayaran pun dilakukan.

“Bagi saya itu sudah melampau! Daripada saya teruskan berlakon dalam teater berkenaan, baik saya terima tawaran telefilem produksi lain. Lagi senang dan tak banyak ragam,” tambah pelakon drama Tukar-Tukar Menu ini lagi.

Profesional

MENGAMBIL keputusan untuk bertemu dengan Boy Iman sedikit masa lagi, Izreen mahu menjernihkan keadaan. Tambahnya perkara tersebut menjadi kucar-kacir sejak lelaki berkenaan ditahan reman akibat kontroversi rumah mampu milik yang menggegarkan negara baru-baru ini.

Ditanya adakah dia risau sekiranya dikenakan tindakan undang-undang akibat penarikan diri di saat-saat akhir, Izreen tidak merasakan perkara tersebut akan berlarutan ke tahap itu memandangkan antara mereka tidak menandatangani apa-apa kontrak.

Semuanya dilakukan atas dasar kepercayaan dan dia sendiri tidak mengambil sebarang deposit untuk teater berkenaan.

“Belum pernah saya membuat sebarang masalah dengan mana-mana produksi. Orang sudah bayar, pasti saya akan laksanakan sebaik mungkin memandangkan itu amanah. Tapi kalau orang memberikan layanan buruk, buat apa nak tunggu lagi.

“Saya pun bukan orang baharu dalam industri ini. Sudah ada pengalaman dan boleh membawa diri. Baiklah saya cari peluang lain daripada terus bekerja dalam suasana yang tidak harmoni,” tambahnya lagi.-Utusan

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.