Subra: Bajet HARAPAN Tiada Fokus Untuk Kaum India

Masyarakat India mengalukan-alukan Bajet 2018 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berbanding belanjawan alternatif Pakatan Harapan (HARAPAN), kata Presiden MIC, Dr S Subramaniam.

Subramaniam berkata beliau tidak melihat sebarang matlamat untuk masyarakat India yang dikemukakan dalam bajet HARAPAN.

“Saya tak ada nampak apa-apa fokus mereka pada masyarakat India, jadi itu sebab saya tak boleh komen.

“Tapi dari keseluruhan bajet yang diumum PM, ia sampai kepada seluruh pelusuk masyarakat – dari orang belum beranak sampai warga emas, semua orang dapat bantuan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Jumaat lepas, Najib mengumumkan bajet berjumlah RM280.25 bilion yang digambarkan sebagai “ibu segala bajet”.

Di bawah Bajet 2018, kerajaan memperuntukkan RM1.5 bilion untuk skim pelaburan bagi kaum India; RM500 juta untuk pinjaman tanpa faedah bagi membolehkan 100,000 isi rumah bawah 40 peratus kaum India (B40) layak memiliki 5,000 unit dalam Amanah Saham 1Malaysia; serta RM50 juta untuk sekolah-sekolah Tamil pada tahun hadapan.

Najib juga berjanji akan menambah jumlah pengambilan kaum India dalam perkhidmatan awam daripada empat peratus hingga tujuh peratus.

 

“Kami sampaikan perkara ini ke bawah dan beritahu mereka (masyarakat India) bahawa kita telah buat banyak, jika kita tidak berbuat begitu, kita adalah parti politik yang bodoh,” kata Subramaniam.

“Ini adalah bajet yang sesuai dengan apa yang telah kita janjikan untuk bawa masa depan yang lebih baik untuk mereka. Sebab mereka mempunyai masa depan yang lebih baik dan akan mengundi kami,” katanya.-Malaysiakini

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.