Sepasang Kekasih Ke Tali Gantung

Mahkamah Tinggi Alor Setar semalam menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap sepasang kekasih selepas didapati bersalah mengedar dadah tahun lalu.

Datuk Hashim Hamzah menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Muhamad Samri Hashim, 40, dan Salina Dtiauddin, 32, apabila mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes tersebut.

Bagi pertuduhan kedua memiliki dadah, mahkamah turut menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap kedua-duanya dan 10 sebatan terhadap Muhamad Samri.

Mengikut kertas pertuduhan, Muhamad Samri dan Salina didakwa mengedar dadah berbahaya jenis heroin seberat 23.32 gram dan monoacethylmorphines 3.55 gram di dalam kereta jenis Proton Perdana di Jalan Bukit Awi, Kulim pada jam 1 pagi 12 Mac 2016.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Bagi pertuduhan kedua, Muhamad Samri dan Salina didakwa memiliki dadah jenis methamphethamine seberat 39.41 gram di tempat dan masa yang sama.

Pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2)/39A(2) ADB 1952 yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan minimum 10 sebatan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Shuhada Mohd Yatim manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam M Chandran dan Burhanuddin Abdul Wahid.- Bernama

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.