Salma Sedia Lawan Lagi

KUALA LUMPUR: Pernah dua kali merangkul gelaran juara program realiti, penyanyi Salma reda kejayaan itu bukanlah tiket melonjakkan nama, malah sedia beradu lagi dalam pertandingan nyanyian.

Bagi Salma yang menjuarai Mentor 5 dan Tiga Juara, tidak timbul isu kecewa atau patah semangat kerana perjalanan kerjayanya agak perlahan.

Sebaliknya, Salma atau nama penuhnya, Salma Asis, 26, percaya masa ’emas’ itu akan tiba, suatu hari nanti.

Baginya, ruang untuk mengejar impian sebaris penyanyi hebat lain terbuka luas apabila disunting syarikat pengurusan, Wake The Baby Records, sejak awal tahun ini.

“Saya akui perjalanan saya tampak perlahan. Bermula dengan kemenangan pada Mentor musim lima, saya cuba mencari rentak dan akhirnya meraih kejayaan dalam Tiga Juara.

“Syukur hingga sekarang saya mampu bertahan biarpun nama saya tidak sebesar penyanyi lain. Saya enggan mengalah malah sentiasa positif kerana yakin rezeki pasti ada.

“Jika diberi ‘lampu hijau’ oleh Wake The Baby Records, kenapa tidak saya terus mencuba nasib di pertandingan lain?” katanya kepada BH Online.

Ditemui selepas pelancaran muzik video single Akhirnya Cinta, Salma menyifatkan peluang menyanyikan lagu karya sentuhan Ajai dengan lirik nukilan Slen Fadzil itu dianggap impian menjadi nyata.

Mengidam karya ciptaan Ajai sejak mula terjun dalam dunia seni pada 2011, Salma teruja apabila lagu berkenaan melatari drama Ku Kirim Cinta lakonan Ayda Jebat dan Redza Rosli.

Tambah Salma, ramai peminat memberi maklum balas positif hingga projek pembikinan video muzik Akhirnya Cinta yang boleh diedarkan di pusat karaoke, direalisasikan.

“Dipilih sebagai lagu runut bunyi drama sudah dianggap bonus tambahan dalam usaha promosi. Apabila ia kerap diperdengarkan, melodi dan liriknya terus bermain di fikiran.

“Konsep klip video ini sangat unik. Ia hanya menampilkan aksi saya seorang agar mampu menonjolkan ekspresi dalaman bertepatan dengan keseluruhan isi lagu ini,” katanya.

Dalam kegembiraan melahirkan muzik video ini, Salma turut berdebar menanti apabila Akhirnya Cinta turut bertanding di peringkat separuh akhir Muzik Muzik, malam ini.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.