Pakar Bius Buka Balai Cerap Amatur Pertama Di Kelantan

KOTA BHARU – “Sejak dahulu saya telah membelanjakan kira-kira RM500,000 termasuk 20 teleskop pelbagai saiz yang turut bakal digunakan di Balai Cerap Kota Bharu,” kata Presiden Persatuan Astronomi (Falak) Amatur negeri Kelantan, Prof Dr Mahamarowi Omar, 56, yang berjaya merealisasikan balai cerap pertama di kediamannya di negeri ini.

Menurut Mahamarowi, demi merealisasikan minatnya yang mendalam terhadap bidang astronomi dan rentetan daripada sambutan hangat peminat astronomi tempatan di balai cerap mini lama di rumah Taman Attarbiah, Jalan Bayam, Kubang Kerian sebelum ini, telah mendorong pakar bius ini membuka Balai Cerap di kediamannya, di sini melalui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), Agensi Angkasa Negara (Angkasa) dengan kerjasama Persatuan Astronomi (Falak) Amatur Kelantan.

Menurutnya, kejayaan membina Balai Cerap di Kampung Kubang Rawa, Salor ini bakal siap dibina sepenuhnya pada bulan hadapan dan akan dibuka kepada orang ramai pada Januari ini.

“Saya amat mengharapkan semua pihak mengambil peluang ini terutama para pendakwah kerana astronomi atau falak adalah sebahagian ilmu yang diasaskan ulama terdahulu,” katanya ketika ditemui di kediamannya selepas Majlis Penyerahan projek Inovasi Sosial Mosti (MSI) Balai Cerap Persatuan Astronomi (FALAK) Amatur Negeri Kelantan, hari ini.

Menyentuh mengenai idea pelaksanaan balai cerap ini, beliau berkata, pihak persatuan telah memohon geran MSI MOSTI itu dalam masa dua tahun bagi pembinaan sebuah balai cerap di atas tanah miliknya di sini.

Sehubungan itu difahamkan, jika dahulu hanya satu sahaja teleskop di balai cerap yang lama, kini ada dua pertambahan teleskop yang baharu.

“Sekarang ini sebanyak lima jenis teleskop yang terdapat di balai cerap ini. Ia akan dikendalikan oleh persatuan Falak yang bertujuan untuk mendidik pelajar, guru-guru agama dan peminat-peminat Astronomi dan juga kepada orang ramai.

Menurutnya kerana usahanya itu, beliau telah mendapat pengiktirafan daripada Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) melalui projek Inovasi Sosial Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Sehubungan itu, Mahamarowi menerima sumbangan fasiliti Balai Cerap pertama di Kelantan bernilai RM250,000.

Beliau berkata, sebelum ini telah mendapat pendidikan dalam bidang perubatan, kerana minatnya dalam ilmu astronomi dia meneruskannya melalui pembacaan dan kajian.

“Saya mempunyai minat mendalam dan mahu mengetahui mengenai bidang angkasa, bulan dan bintang sejak kecil. Setiap kali mendengar tafsiran al-Quran, saya akan tertanya-tanya apabila sampai bahagian yang mendedahkan keindahan ciptaan tuhan ini.

“Melalui balai cerap ini, komuniti Kelantan terutama pelajar dan peminat astronomi dapat mempelajari astronomi moden dengan teori dan praktikal melalui pencerapan dan bengkel yang akan dikendalikan oleh persatuan di sini.

Tambahnya, pihaknya akan melatih ahli-ahli kelab supaya mereka dapat memahami serta pandai menggunakan sistem berkomputer juga sistem teleskop berfungsi yang mana sekali gus mereka turut diajar untuk mengenal objek-objek yang berada di langit.

Beliau mengharapkan agar ilmu astronomi akan menjadi ilmu yang amat diminati terutamanya oleh rakyat Kelantan kerana ia adalah ilmu yang berkait rapat dengan agama Islam itu sendiri.

Sementara itu, Ketua Pengarah ANGKASA, Dr Noordin Ahmad berkata, pembinaan fasiliti berserta kelengkapan teleskop di Kampung Kubang Rawa, Salor itu turut dilaksanakan di bawah Projek Inovasi Sosial (MSI) MOSTI untuk memupuk kesedaran dan minat masyarakat negeri ini kepada ilmu astronomi dan angkasa.

Nordin berkata, Balai Cerap itu adalah projek ketiga pihaknya selepas dilancarkan untuk Persatuan Balai Cerap Sabah Stargazer dan projek solar atas talian untuk masyarakat Orang Asli di Dengkil, Selangor.

“Objektif utama projek MSI adalah untuk mengembangkan ilmu sains dan teknologi termasuk astronomi yang merupakan bidang fokus negara dan diletakkan dalam kokurikulum di sekolah.

“Balai Cerap Kota Bharu adalah balai cerap rasmi pertama di negeri ini dan kita harap ia akan memberi manfaat terutamanya kepada pelajar dan penggemar astronomi untuk datang dan mengambil maklum perkembangan terkini bidang ini,”katanya.

“Balai cerap yang bersaiz 800 kaki persegi (74.5 meter persegi) ini dilengkapi dengan empat sistem teleskop; kamera digital refleks lensa tunggal (DSLR) yang disesuaikan untuk pengimejan astrofoto; ruang pencerapan dan pembelajaran,”katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.