NIOSH Diberi Tanggungjawab Pantau Aspek Keselamatan Sekolah Tahfiz

BANGI – Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) diberikan tanggungjawab untuk memantau dan meningkatkan aspek keselamatan bagi semua sekolah tahfiz di seluruh negara.

Tugas itu diberikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kepada NIOSH selaku salah satu badan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Pasukan Petugas Khas Sekolah Tahfiz.

Justeru itu, Pengerusi NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, institut keselamatan itu segera menubuhkan satu badan khas bulan lalu yang terdiri daripada beberapa pakar keselamatan dan kesihatan untuk turun padang bagi memberikan ceramah, taklimat kepada sekolah tahfiz.

“NIOSH telah tubuhkan satu badan dimana mereka akan memberikan fokus kepada aspek keselamatan sekolah tahfiz dan akan bekerjasama dengan PINTA (Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran) dalam penyelarasan program lawatan ke sekolah tahfiz dan sebagainya.

“Mengenai pasukan petugas khas kebakaran Tahfiz Darul Quran, kami akan tunggu mesyuarat kali kedua. Tapi selepas mesyuarat kali pertama, fokus NIOSH adalah terhadap aspek kesedaran dan keselamatan yang memberikan latihan dan pencegahan kepada semua sekolah tahfiz,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Seminar Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan untuk Sekolah Tahfiz 2017 di Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).

NIOSH sebelum ini pernah dipelawa oleh Zahid untuk menganggotai pasukan khas itu memandangkan ia mempunyai kepakaran dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerja.

Ia bagi membantu kerajaan dalam melakukan siasatan terhadap kebakaran meragut nyawa 21 pelajar serta dua guru Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Dato Keramat pada 14 September lepas serta kaedah untuk mencegah perkara sama berulang.

“Apabila TPM pengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Petugas Khas, beliau ingin tahu apa yang boleh NIOSH sumbangkan untuk membantu sekolah tahfiz.

“NIOSH berperanan untuk memberikan kesedaran mengenai keselamatan di semua sekolah tahfiz mengenai perundangan dan Akta Keselamatan Pekerjaan mengenai tanggungjawab pengusaha tahfiz mengenai peranan mereka,” katanya lagi.

Zahid pada 19 September lalu mempengerusikan mesyuarat tersebut buat kali pertamanya di Putrajaya.

Ia bagi mencari penyelesaian isu berkaitan pengurusan dan aspek keselamatan pusat tahfiz di negara ini.

Antaranya mengesyorkan pindaan ke atas Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) bagi membolehkan pendaftaran institusi pendidikan Islam swasta termasuk sekolah tahfiz tertakluk kepada akta berkenaan. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.