Mengalu-Alukan Bakal Ibu Tiri

MEMAHAMI fitrah manusia yang hidup berpasang-pasangan di dunia, hati wanita ini mudah tersentuh melihat keadaan bapanya, Syed Hanafi Syed Abdullah, 64. Pada pandangan Elly, lelaki itu sering dilihat termenung sendirian kala ada waktu lapang.

Itulah rutin kegemaran bapanya selepas kematian isteri, arwah Sabariah Yoon dijemput Ilahi akibat sesak nafas pada 11 Mei 2014 lalu. Setiap kali itulah hati Elly pasti berdetik kuat dan mengiyakan yang ‘abah rindukan arwah mama’.

 

Tapi ketika itu Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 37, atau Elly Mazlein belum bersedia untuk menerima kehadiran orang baharu dalam hidup bapa kesayangannya itu. Bagaimanapun lama kelamaan tercetus rasa simpati dalam lubuk hati mengenangkan kebajikan lelaki tersebut.

Sementelah rutin harian kerjayanya semakin sibuk dan banyak masanya di luar rumah, semakin bimbang dengan bapanya apabila tiada teman bersembang di sisinya seperti mana terjadi sebelum ini.

Hinggalah satu hari topik pengganti arwah ibu dibangkitkan kepada bapanya itu. Tiba-tiba saja dia berlapang dada untuk menerima ‘ibu’ baharu sekaligus memberikan ‘lampu hijau’ buat bapa untuk mencari calon isteri baharu.

“Semua ini berlaku secara tiba-tiba. Sebelum abah menunaikan umrah tahun lepas, saya ada menyebut perkara ini. Saya nak abah mencari ‘makcik’ baharu’. Abah memerlukan seseorang yang boleh menjadi tempat dia bermanja dan mengadu.

“Alhamdulillah, abah berjumpa dengan seseorang. Yang menariknya, abah bertemu jodoh di Tanah Suci Mekah dan hubungan itu dipermudahkan selepas masing-masing pulang ke tanah air.

“Saya gembira dan mendoakan kebahagiaan abah pada perkahwinannya baharu yang bakal berlangsung pertengahan bulan depan,” ujar Elly yang baru saja tamat penggambaran drama Villa Ghazara.

Sekadar memberitahu bakal ibu tirinya seorang doktor dan ibu tunggal, Elly juga enggan memperincikan perkara tersebut buat sementara waktu ini memandangkan dia juga perlu menghormati perasaan anggota keluarga pihak berkenaan.

Yang pasti, masing-masing sudah pun mendapat kata sepakat untuk menyegerakan perkara yang baik itu. Dia juga tidak sabar untuk melihat bapanya itu mendirikan rumah tangga dengan wanita itu pada bulan depan.

“Sebagai anak saya tidak akan bertindak kejam untuk membiarkan abah berseorangan hingga ke hujung hayatnya. Dia berhak menikmati kemanisan hidup. Saya tidak akan cemburu jika abah bahagia dalam perkahwinan baharu ini. Walaupun semua orang tahu tentang kegagalan perkahwinan terdahulu, tapi tidak wajar kalau saya bersikap prejudis seperti tidak membenarkan abah berkahwin lagi,” jelasnya lagi.

Pasang badan demi Lentik Dara

KETIKA si bapa sudah bertemu pengganti keadaan sebaliknya bagi hidup Elly. Dia kekal sendiri. Penyanyi lagu Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan ini mengakui hatinya masih ‘sejuk beku’ untuk kembali bercinta.

Lagipun fokus dirinya lebih kepada usaha untuk mengukuhkan pendapatan dan simpanan buat pendidikan Sefhia serta keperluan lain pada masa akan datang.

Dia sanggup ‘pasang badan’ dan menjaga ketrampilan diri agar kelihatan menawan sepanjang masa demi memastikan rezekinya dalam bidang seni ini sentiasa ada.

“Dalam sibuk-sibuk ‘memasang badan’, siapa sangka Lentik Dara datang ‘melamar’ dan mahu menjadi duta produk mereka. Syukur tak terhingga sebab siapa sangka dalam sibuk mencari rezeki dalam bidang lakonan dan nyanyian, masih ada pihak yang berminat untuk melantik saya mewakili produk mereka.

“Rezeki tak terhingga ini juga anugerah buat Sefhia. Dia adalah sumber kekuatan buat saya untuk gigih mencari rezeki buat keluarga,” ujarnya.

Lentik Dara merupakan himpunan makanan sunnah seperti kurma, madu dan delima yang digabungkan dengan kolagen ikan salmon dan acai beri bagi menghasilkan kecantikan luaran dan dalaman.

Satu lagi perkara yang membuatkan Elly berasa dirinya dirahmati selepas menyertai pertandingan realiti Gegar Vaganza 3 pada tahun lepas apabila rezekinya dalam bidang hiburan tidak pernah putus hingga ke hari ini.

Jadual kerjanya dalam bidang lakonan dan nyanyian juga sentiasa diisi saban minggu serta berlarutan hingga hujung tahun ini. Sekali lagi, kata Elly, semua itu adalah rezeki buat satu-satunya kesayangannya, Sefhia.

Lampu hijau buat abah

DUA tahun lalu, wanita ini tidak pasti tentang kemampuan diri untuk memikul dua tanggungjawab sekaligus. Dia keliru dan sangsi untuk menjadi ibu dan bapa buat satu-satunya permata hati, Putri Sara Sefhia yang kini berusia setahun tujuh bulan. Macam-macam yang bermain di kotak pemikirannya pada waktu itu.

Elly juga sedar bahawa tugas untuk memikul amanah yang satu itu bukan satu kerja mudah. Ia memerlukan iltizam yang tinggi dan banyak perkara yang perlu dititikberatkan dalam soal kesejahteraan Sefhia.

Kini Elly sudah membuktikan kepada semua tentang kewibawaannya menjadi ibu tunggal. Bukan sekadar menjaga Sefhia, bahkan Elly turut menjaga hal ehwal bapa kesayangan selepas bercerai dengan bekas suami, pengarah drama Azmi Hata pada 2015.

“Segala jenis perasaan yang ada di dunia ini sudah saya sudah tempuhi selepas bercerai. Semuanya itu ‘ditelan’ demi Sefhia dan abah. Saya ‘keraskan’ hati ini untuk menempuh segala cabaran demi mereka.

“Sefhia adalah satu-satunya harta paling berharga, penyelamat dunia dan akhirat saya. Demi si kecil ini, saya nekad untuk berkorban dan melakukan apa saja untuk memastikan kebajikan Sefhia dibela.

“Abah menjadi saksi yang melihat setiap satu pengorbanan dan kesedihan yang dialami selama ini,” kata Elly dengan nada getar tatkala berkongsi rasa tentang keadaannya pada waktu ini.

Bersyukur memiliki seorang bapa yang tidak pernah membiarkan darah dagingnya bersendirian menempuh episod duka, lelaki itu juga sentiasa menyuntik kata-kata semangat yang menjadi pegangan buat Elly untuk berdepan dengan cabaran mendatang.

Itulah kasih seorang bapa buat anak bongsunya yang disifatkan paling manja dalam keluarga. Kasih seorang bapa yang tidak ternilai itu tidak pernah terhenti meskipun lelaki itu turut berdepan dengan tempoh kesedihan selepas kehilangan isteri tercinta.

“Kehidupan keluarga kecil saya yang sentiasa ceria bertukar menjadi suram selepas arwah mama pergi meninggalkan kami tiga tahun lalu. Selepas itu, saya cuma ada abah dan begitu juga sebaliknya.

“Kami menjadi kawan bercerita dan meluahkan apa saja yang rasa yang terbuku di dada. Hubungan itu tidak putus walaupun saya sudah berkahwin dengan bekas suami, abah sentiasa di sisi.

“Begitu juga keadaannya selepas saya bercerai. Abah hanya satu-satunya lelaki yang saya ada,” kata Elly merujuk hubung erat antara dirinya dengan bapanya yang merupakan bekas pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Elly juga yang mempunyai seorang abang sulung yang kini menetap di Sabah.-Utusan

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.