Kubur Kanak-Kanak Ditusuk Batu Digali Semula

ALOR SETAR – Kubur kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang maut akibat tertusuk serpihan batu pengasah mesin rumput ayahnya pada Jumaat lalu di Kampung Tanjung Besar, di sini digali semula hari ini selepas mendapat perintah mahkamah.

Kerja-kerja menggali kubur Nur Aliya Syifa Murad di Tanah Perkuburan Islam Masjid Nurul Ehsan, di sini bermula pukul 9.25 pagi dan selesai pada 11 pagi.

Menurut laporan Utusan, sepanjang proses menggali semula kubur kanak-kanak tersebut, ibunya, Sabda Abdul Rahim, 41, beberapa kali rebah sebelum dipapah ke kawasan pekarangan Masjid Nurul Ehsan, di sini manakala bapanya, Murad Othman@Aziz, 40, hanya tertunduk hiba sambil ditenangkan saudara mara yang hadir.

Jenazahnya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, di sini untuk dibedah siasat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Mior Farid Al Athrash Wahid berkata, pihaknya mendapat perintah mahkamah untuk menggali semula kubur kanak-kanak itu bagi memenuhi proses siasatan mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan.

“Kertas siasatan terhadap kes kematian kanak-kanak ini dibuka atas kesalahan cuai hingga menyebabkan kematian. Kubur kanak-kanak ini digali bagi menjalankan proses bedah siasat sebelum kertas siasatan dihantar kepada pihak pendakwa raya,” katanya di sini hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan Nur Aliya Syifa cedera pada bahagian dada kiri selepas batu pengasah yang diasah ayahnya pecah dan serpihannya terpelanting terkena dadanya sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.