‘JDT Tidak Perlu Menang Pun Piala Malaysia’ – Alistair Edwards

KUALA LUMPUR – “Kami tidak perlu memenangi Piala Malaysia untuk menjadi raja bola sepak tanah air,” kata Pengarah Teknikal Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Alistair Edwards.

Menerusi satu kenyataannya, beliau berkata, JDT tidak perlu membuktikan siapa raja bola sepak tanah air kerana semua pihak termasuk negara luar tahu siapa raja bola sepak tanah air yang sebenar.

“Dengan projek yang kami lakukan dan kejayaan di dalam dan luar padang, ia telah membuktikan kepada dunia luar yang lebih memberi pengiktirafan kepada kami berbanding di dalam negara sendiri,” katanya.

JDT bakal bertemu dengan pasukan Kedah dalam aksi final bagi merebut kejuaraan Piala Malaysia musim ini.

Terdahulu, Edwards berkata, JDT telah memenangi sebanyak lapan piala hanya dalam tempoh empat tahun setengah.

Kata beliau, JDT telah mencipta sejarah demi sejarah dan menjadi kelab pertama dalam negara bukan sahaja memenangi liga untuk tiga tahun berturut-turut tetapi empat tahun berturut-turut.

Tambah beliau, JDT juga telah melakar sejarah dalam peringkat antarabangsa apabila menjadi kelab pertama dalam negara melepasi peringkat separuh akhir Piala AFC sekaligus memenangi Piala AFC.

“Kami juga telah bermain sebanyak tiga kali berturut-turut di peringkat kelayakan kejohanan ACL di mana tiada kelab dalam negara yang mampu melakukannya,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.