Iran Tidak Akan Berhenti Bina Peluru Berpandu

TEHERAN – Iran akan terus membina peluru berpandu untuk pertahanannya dan tidak menganggap perbuatan tersebut melanggar sebarang perjanjian antarabangsa, kata Presiden Hassan Rouhani semalam dalam ucapan yang disiarkan stesen televisyen pemerintah.

Menurut Reuters, Hassan berkata demikian beberapa hari selepas Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) meluluskan sekatan baharu terhadap program peluru berpandu balistik Iran.

“Kita telah membina, sedang membina dan akan terus membina peluru berpandu dan tindakan ini tidak melanggar mana-mana perjanjian antarabangsa.

“Kita akan menghasilkan apa-apa senjata yang kita perlukan, mengumpulkannya dan menggunakannya pada bila-bila masa untuk mempertahankan diri kita,” kata Hassan dalam ucapannya di Parlimen, lapor Kosmo.

AS telah menguatkuasakan sekatan secara unilateral ke atas Iran dengan alasan ujian misil Republik Islam itu melanggar resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menuntut Teheran supaya tidak melakukan aktiviti melibatkan peluru berpandu berkeupayaan nuklear.

Hassan turut mengecam AS berhubung keengganan Presiden Donald Trump pada bulan ini untuk mengesahkan secara rasmi bahawa Iran telah mematuhi syarat-syarat perjanjian 2015 walaupun perkara itu diakui sendiri oleh pasukan penyiasat antarabangsa.

“Kamu (Trump) menolak rundingan dan perjanjian sebelum ini yang diluluskan oleh Majlis Keselamatan PBB dan mahu orang lain berunding dengan kamu?

“Kerana sikap yang ditonjolkan ini, AS perlu melupakan sebarang rundingan pada masa hadapan dengan negara-negara lain,” kata Hassan yang merujuk kepada Korea Utara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.