Disangka Ikan Pari, Rupanya Dron Sangkut Di Jaring

PEKAN ― Sebuah dron seberat 50kg, yang disangka ikan pari, tersangkut pada jaring seorang nelayan di perairan Nenasi di sini semalam.

Mat Daut Musa, 36, dan isteri Hawa Ishak, 34, mendapati jaringnya “terlalu berat” untuk ditarik sebelum menyedari ia sebuah dron berbentuk pesawat putih.

Beliau pernah mendengar insiden dron terhempas di dearah itu tetapi tidak menyangka akan menemuinya jam 9 pagi, lapor Harian Metro petang ini.

“Panik dengan penemuan hampir saja tangan saya terlepas pegangan jaring itu, namun isteri sempat menegur dan mencadangkan untuk membawanya ke jeti,” katanya.

Menceritakan situasi alat itu, Mat Daut menjangka dron itu terhempas tiga bulan lalu kerana sayap dan badan pesawat itu berlumut dan ada teritip.

Menetap di Kampung Serun di Jalan Pekan-Rompin, nelayan itu berkata dron itu kelihatan masih baik kecuali sayapnya sahaja merekah.

“[…] ini kali pertama saya melihat pesawat tanpa pemandu bersaiz besar dengan panjang sayapnya kira-kira tiga meter,” katanya.

Polis daerah Pekan menerima laporan penemuan dron tersebut dan pesawat itu akan dipulangkan kepada pemiliknya setelah siasatan selesai. – MalayMail

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.