Bekas Pelajar Bersyukur Dapat Diskaun Bayaran Pinjaman PTPTN

BESUT – Kesediaan kerajaan memberi diskaun bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dari 15 peratus kepada 20 peratus dalam pembentangan Bajet 2018 mendapat reaksi positif daripada kalangan peminjam di Besut.

Langkah tersebut memberi peluang seorang bekas pelajar Politeknik Kota Bahru Mohd Afez A Rahman, dari Kampung Kayu Kelat, Jertih membuat bayaran penuh pinjaman yang dibuat pada 2013 di PTPTN Cawangan Besut di bandar Jertih di sini hari ini.

“Saya bersyukur kerana dapat membayar balik baki hutang pinjaman dengan PTPTN yang sebelum diskaun berjumlah RM5,986.47. Saya tidak menyangka apabila diberitahu pegawai di PTPTN Cawangan Besut saya layak mendapat potongan diskaun 20 peratus,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Lepasan diploma dalam bidang elektrik dan eletronik yang bekerja di sebuah pusat servis kenderaan itu terus ke Bank Simpanan Nasional untuk mengeluarkan simpanannya dan membayar baki pinjaman sebanyak RM4,789.18 sahaja selepas diskaun begitu berterima kasih dengan kerajaan atas diskaun tersebut.

Sementara itu Pengurus Kanan Cawangan PTPTN Besut Yusniwati Yusof berkata Mohd Afez merupakan peminjam pertama yang membuat bayaran balik penuh sejak pengumuman Jumaat lalu.

Katanya, pihaknya menerima banyak panggilan daripada peminjam yang berminat untuk merebut diskaun 20 peratus sejak beberapa hari lalu dan berjanji akan membuat bayaran penuh dalam masa terdekat. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.