Baiki Muzium, Ritual Pindah Tengkorak

KUCHING ― Sebanyak 23 tengkorak manusia berusia ratusan tahun di Muzium Sarawak akan dipindahkan ke tempat penyimpanan sementara berikutan muzium yang didirikan pada tahun 1891 itu akan ditutup untuk kerja pengubahsuaian.

Seperti menurut laporan Bernama, Jabatan Muzium Sarawak pagi ini mengadakan upacara miring antu pala mengikut kepercayaan masyarakat Iban untuk melancarkan proses pemindahan tersebut.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Muzium Sarawak Ipoi Datan berkata upacara miring tersebut disempurnakan oleh kakitangan Majlis Adat Istiadat Sarawak diketuai oleh Lanting Itar yang bertindak sebagai ‘lemambang’ bersama-sama lima pembantunya.

“Upacara miring antu pala harus diadakan sebelum proses pemindahan tengkorak yang disimpan di rumah panjang dalam bangunan Muzium Sarawak ini. Ini adalah untuk memenuhi adat-adat masyarakat Iban,” katanya ketika ditemui pemberita selepas upacara hampir dua jam itu selesai.

Ipoi berkata 23 tengkorak tersebut dibawa dari pelbagai lokasi di negeri ini dan telah disimpan di muzium tersebut sejak zaman pemerintahan Charles Brooke.

“Kita akan pindahan tengkorak ini selepas tiga hari, mengikut adat masyarakat Iban ada pantang larang tidak boleh sentuh tengkorak, hanya boleh sentuh selepas tiga hari.

“Kita akan pindahkan ke kawasan penyimpanan kita berdekatan kerana kita akan membuat pengubahsuaian di dalam bangunan lama ini,” katanya sambil menambah muzium itu telah ditutup kepada orang ramai sejak 23 Okt lepas.

Muzium Sarawak didirikan pada 1891 dan diperbesarkan seperti bentuk yang sedia ada pada 1911. 

Muzium itu dibina oleh Charles Brooke untuk menyimpan dan mempamerkan seni kraftangan masyarakat peribumi tempatan dan koleksi binatang tempatan seperti yang dicadangkan oleh Pakar Alam Semulajadi, Alfred Wallace, yang menjalankan kerja-kerja mengumpul spesimen-spesimen di negeri Sarawak pada masa tersebut.

Sementara itu, Majlis Adat Istiadat Sarawak dalam kenyataan berkata miring antu pala membawa maksud ritual dilakukan untuk menghormati ‘patara’ (tuhan), roh, dan nenek moyang untuk memohon keamanan antara dunia roh dan manusia.

RituaI itu juga dilakukan apabila tengkorak yang dipamerkan di bangunan lama stadium itu mahu dipindahkan ke lokasi baharu, menurut kenyataan itu. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!