29 Maut, Hotel Di Somalia Diserang

MOGADISHU – Serangan kumpulan militan ke atas sebuah hotel di ibu kota Somalia, Mogadishu berakhir semalam dengan 29 orang terbunuh dalam pertempuran tersebut yang berlarutan selama hampir 12 jam, kata polis, lapor Reuters.

“Setakat ini (semalam), saya sahkan 29 orang telah terbunuh,” kata seorang pegawai polis, Abdullahi Nur.

Menurutnya, 12 yang maut merupakan anggota polis.

“Seorang wanita bernama Madobe Nunow dipancung, manakala tiga anaknya ditembak mati,” tambahnya, petik Kosmo.

Seorang saksi agensi berita Reuters berkata, dia melihat tujuh mayat terbaring di dalam Hotel Naso Hablod tersebut.

Seramai tiga militan ditangkap hidup-hidup, manakala dua lagi meletupkan diri selepas mereka ditembak.

Serangan bermula sekitar pukul 5 petang kelmarin dengan letupan bom kereta. Beberapa lelaki bersenjata kemudian menyerbu ke dalam bangunan itu selepas bom tersebut memusnahkan struktur pertahanannya.

Serangan itu berakhir pagi semalam.

Letupan kuat memusnahkan bahagian hadapan hotel tiga tingkat itu, manakala sebuah hotel yang terletak bersebelahan rosak.

Ramai pegawai Somalia tinggal di dalam hotel yang diperkukuhkan seperti kubu kerana premis itu menawarkan kawalan keselamatan yang lebih baik.

Kumpulan Islam Al-Shabaab mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan tersebut. Al- Shabaab mahu menumbangkan kerajaan sedia ada yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan menegakkan pemerintahan Islam mengikut acuannya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.