UTM Tidak Naikkan Yuran Pengajian

JOHOR BAHRU – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) tidak akan menaikkan yuran pengajian semata-mata untuk menampung kos operasinya susulan pemotongan bajet bagi universiti awam (UA) tahun depan.

 

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Wahid Omar berkata, universiti itu mempunyai strategi tersendiri yang akan dan telah dilaksanakan bagi menampung kos operasi sekali gus bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar.

 

Beliau berkata, antara strategi itu ialah mengamalkan pengurusan kewangan berhemah, meningkatkan kepelbagaian sumber penjanaan pendapatan serta melaksanakan usaha bagi menggunakan asset sedia ada untuk meraih pendapatan.

 

“Bagi melaksana pengurusan kewangan berhemah, UTM memperkenalkan program kesedaran mengenai status kewangan dalam kalangan warga kampus untuk berkongsi status semasa.

 

“Menerusi perkongsian maklumat itu, mereka dapat mengetahui kedudukan kewangan universiti dan kesan langsung yang akan dihadapi sekiranya tiada inisiatif penjanaan dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Wahid berkata, UTM juga melaksanakan penstrukturan semula fakulti dan pusat tanggungjawab (PTJ) melalui penggabungan mengikut bidang kesesuaian sebagai mengurangkan perbelanjaan mengurus dengan penggunaan sumber minimum.

 

Beliau berkata, antara fakulti yang digabung ialah Fakulti Kejuruteraan Petroleum dan Tenaga Diperbaharui dengan Fakulti Kejuruteraan Kimia; Fakulti Biosains dan Bioperubatan dengan Fakulti Kejuruteraan Bioperubatan dan Sains Kesihatan.

 

UTM turut mewujudkan Unit Pembangunan Bisnes (BDU) untuk menjana dan meningkatkan sumber pendapatan dalaman dan mengkaji semula kos efektif terhadap program ditawarkannya, katanya.

 

Wahid berkata, UTM juga dijangka memperkenalkan program akademik baharu yang mampu memberi pulangan baik, mengadakan penganjuran persidangan, seminar dan latihan yang mempunyai nilai pasaran tinggi serta memperhebatkan kempen jalinan mesra dengan alumni dan industri untuk mengisi Tabung Endowment.

 

UTM jelasnya, telah mengenal pasti aset seperti tanah dan bangunan yang boleh digunakan sebagai pusat komersial untuk penjanaan pendapatan dan melaksana program pelestarian kampus pada 2010 yang menyaksikan lebih 60,000 lampu kalimantang ditukar kepada lampu jimat tenaga sebagai mengurangkan pembaziran dan menjimatkan perbelanjaan.

 

“Program pelestarian ini berjaya menjimatkan perbelanjaan elektrik sebanyak RM4.5 juta antara 2011 dan 2012 dan mendapat pengiktirafan Skim Pengurusan Tenaga ASEAN (AEMAS),’ katanya.  – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.