Singapura, Malaysia Ikrar Hubungan Dua Hala

SINGAPURA: Malaysia dan Singapura telah menzahirkan ikrar semula mengenai hubungan dua hala yang istimewa antara kedua-dua negara.

 

 

Penzahiran itu dibuat dalam pertemuan antara Menteri Luar republik itu, Dr Vivian Balakrishnan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kuala Lumpur pada Khamis.

 

 

Balakrishnan, yang kini berada di Malaysia untuk lawatan dua hari mengunjungi Najib di Bangunan Parlimen pagi semalam.

 

 

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Hal Ehwal Luar di sini, mereka mengalu-alukan kerjasama rapat antara kedua-dua negara dan kemajuan menggalakkan yang dicapai dalam beberapa projek dua hala termasuk Kereta Api Berkelajuan Tinggi KL-Singapura dan Rapid Transit System.

 

 

Balakrishnan juga mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Malaysia, Datuk Seri Anifah Aman.

 

 

Balakrishnan memuji Malaysia atas kepimpinannya sebagai Pengerusi ASEAN dan melahirkan komitmen Singapura untuk bekerjasama rapat dengan Malaysia untuk memastikan kejayaan Sidang Kemuncak ASEAN pada November ini.

 

 

Mereka bertukar-tukar pandangan mengenai perkembagan terkini termasuk keperluan untuk bekerjasama memerangi keganasan, menangani isu keselamatan serantau dan jerebu rentas sempadan.

 

 

Balakrishnan juga menemui menteri Kabinet yang lain termasuk Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman.

 

 

Beliau juga menemui Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan dalam pertemuan itu, mereka bersetuju bahawa adalah penting untuk menjalin hubungan erat antara pemimpin dan belia dari kedua-dua negara.-Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.