Pengasas Facebook Mark Zuckerberg Terpukau Dengan Seni Bina Taj Mahal

KUALA LUMPUR : Pengasas Facebook, Mark Zuckerberg pada hari Selasa memulakan penggembaraannya di India dengan lawatan ke makam terkenal Taj Mahal di Agra.

 

 

Menerusi satu kenyataan Facebook, Zuckerberg berkata, beliau memang berhasrat untuk melawat makam Taj Mahal yang dibina sekitar 1600-an oleh Maharaja Mughal,Shah Jahan sebagai monumen peringatan untuk Mumtaz Mahal, isterinya yang kelima.

 
Zuckerberg yang sungguh kagum dengan keagungan seni bina Taj Mahal berkata “ia lebih menakjubkan daripada yang saya jangkakan.”

 

 

“Ia adalah sesuatu luar biasa untuk lihat apa yang manusia dapat membina, serta bagaimana cinta boleh mendorong kita untuk membinanya,” tulis Zuckerberg sambil memuat naik sekeping gambar beliau duduk di hadapan Taj Mahal.

 
Menurut laporan USA Today, Zuckerberg berada di India untuk mendalami hubungan dengan negara Asia Selatan, yang merupakan rumah kepada sejumlah besar pengguna Facebook, selain Amerika Syarikat.

 
Jutawan teknologi itu akan menganjurkan satu sesi soal jawab di Delhi India Institute of Technology hari ini dan kira-kira 900 pelajar dijangka akan hadir pada majlis itu.

 
Sejak tahun 2014, Facebook telah cuba untuk menawarkan pakej percuma bagi menyediakan perkhidmatan asas internet yang dipanggil ‘Free Basics’ (dahulu internet.org) di India.

 
Ia dilakukan sebagai satu inisiatif untuk membawa perkhidmatan internet kepada penduduk di negara-negara membangun yang tidak mampu untuk membayar caj data.

 
Memetik laporan Hindustan Times, tawaran ‘Free Basics’ itu boleh didapati di 25 buah negara termasuk Indonesia, Panama, Jakarta, dan Pakistan, tetapi penerimaan pakej ini dalam salah satu pasaran terbesarnya, India adalah penting untuk syarikat Facebook.

 

 

Sebelum berhijrah ke India, Zuckerberg pada Isnin menyampaikan satu ucapan ringkas dalam bahasa Mandarin di Universiti Tsinghua di China.

 

 

Pada September lalu, Perdana Menteri India Narendra Modi telah mengadakan lawatan ke ibu pejabat Facebook di Menlo Park, California, Amerika Syarikat.-Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.