Indonesia Akui Silap, Tak Bersedia Tangani Jerebu

JAKARTA – Kerajaan Indonesia mengakui telah melakukan kesilapan dalam meramalkan kesan fenomena El-Nino pada tahun ini, sehingga gagal membuat perse­diaan sewajarnya, menyebabkan bencana jerebu berpanjangan dan tidak dapat ditangani dengan berkesan.

 

Menteri Penyelaras Bidang Politik, Hukum dan Keamanan Indonesia, Luhut Binsar Pandjaitan berkata, pihak berkuasa tidak menjangka El-Nino kali ini lebih buruk dari 1997, kerana ramalan awal me­nyatakan fenomena itu akan berhenti pada September apabila masuk musim hujan.

 

“Maaf, saya harus jujur mengatakan bahawa kami tidak tahu, BMKG (Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofizik) juga tidak tahu bahawa El-Nino kali ini jauh lebih buruk daripada ramalan. Kami membuat kesilapan ramalan,’’ katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

 

Menurut Luhut, berikutan ramalan awal itu, kerajaan menjangkakan pada September dan Oktober (tahun ini) hujan akan turun seperti tahun-tahun sebelumnya dan kebakaran hutan serta kawasan pertanian dapat ditangani, tetapi semua itu tidak berlaku.

 

Katanya, kesilapan tersebut akan menjadi bahan penilaian pa­da tahun-tahun akan datang dan kerajaan juga akan menyediakan para petugas yang pakar dalam mencegah kebakaran kawasan pertanian khususnya yang melibatkan tanah gambut.

 

Bagaimanapun, beliau mendakwa tindakan kerajaan menangani bencana jerebu pada masa ini masih belum terlambat kerana pihak berkuasa sudah mengerahkan segala aset dan kemampuan yang ada untuk menghentikan bencana yang sudah berlarutan hampir tiga bulan itu.

 

“Kami sudah lakukan sesuai kemampuan yang ada. Kalau ada yang merasa belum maksimum, kami terima. Tapi saya katakan, saya tidak malu mengakui, kami keliru meramalkan dan kami lakukan semua kaedah penyelesaian ketika ini,” katanya.

 

Selain operasi pemadaman kebakaran, kerajaan Indonesia juga me­laksanakan operasi kemanusiaan dengan menyiapkan tum­pangan dan menyediakan kapal perang untuk proses pemindahan sementara mangsa yang terjejas akibat jerebu.

 

Sementara itu, Menteri Sosial, Khofifah Indar Parawansa pula ber­kata, bencana jerebu setakat ini telah mengorbankan 19 nyawa, ekoran pelbagai penyakit berkaitan dengan pernafasan kesan daripada asap tebal.

 

Dalam pada itu, hujan mulai turun di beberapa kawasan yang teruk dilanda jerebu setakat ini, termasuk di Palangkaraya, Jambi, Padang dan Medan.

 

Badan Pencegah Bencana Negara (BNPB) berkata, tahap indeks pencemaran udara di beberapa wilayah mulai menurun sejak semalam terutama di Palangkaraya, Kalimantan merupakan kawasan yang paling teruk dilanda jerebu di Indonesia. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.