DAP Gagal Selesai Masalah Rakyat – PAS P.Pinang

PULAU PINANG – Pas negeri menyelar Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang sengaja membangkitkan isu lapuk serta tidak berasas semata-mata untuk menutup kelemahan pentadbiran Kerajaan DAP Pulau Pinang.

 

Pesuruhjayanya, Muhammad Fauzi Yusof berkata, kenyataan Guan Eng semalam bahawa Pas dan UMNO kini sedang menuju ke arah Kerajaan Perpaduan merupakan putar belit politik yang tidak mempunyai kepentingan terhadap rakyat negeri ini yang dihimpit pelbagai masalah lain.

 

Katanya, isu berkenaan tidak wajar dibangkitkan kerana sebenarnya banyak isu lain yang membelenggu rakyat negeri ini termasuk masalah umat Islam yang gagal diselesaikan Kerajaan DAP Pulau Pinang.

 

“Apa asas Guan Eng bercakap begitu? Bagi saya, dia sengaja membangkitkan isu Kerajaan Perpaduan kerana mahu tutup isu lain termasuk bantuan terhadap Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang ditarik balik kerajaan negeri sebelum ini,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri prosiding kes Bendahari Pas negeri, Iszuree Ibrahim yang mencabar pemecatannya sebagai Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang pada tahun lepas.

 

Mengulas lanjut, Muhammad Fauzi berkata, sehingga kini, masih tidak ada penjelasan mengenai penarikan bantuan di dua buah SAR negeri ini dan pihaknya yakin perkara itu dilakukan oleh ‘tangan-tangan ghaib’.

 

Sementara itu mengulas mengenai kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Zainal Abidin Osman bahawa parti itu sedia bekerjasama demi kepentingan orang Melayu dan Islam di negeri ini, Muhammad Fauzi berkata, kerjasama itu harus dilihat dalam skop yang luas.

 

Katanya, di pihak Pas negeri, mereka terlebih dahulu mahu mendengar pendirian UMNO dan Barisan Nasional (BN) negeri berhubung beberapa isu seperti cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang berkait rapat dengan rakyat. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.