Buang Bayi: Ibu Empat Anak Ditahan

ALOR SETAR – Polis menahan seorang wanita berusia 38 tahun yang dipercayai membuang bayi perempuannya sendiri yang baru dilahirkan di dalam mesin basuh di sebuah rumah di Kampung Ulu Dulang Kecil dekat Yan kelmarin.

 

Wanita berkenaan yang merupakan ibu kepada empat orang anak ditahan kira-kira pukul 12 tengah hari semalam.

 

Difahamkan, suspek yang tidak bekerja juga tinggal di rumah yang menjadi lokasi bayi perempuan tersebut ditemukan.

 

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintenden Muhamad Halim Yatim berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku melahirkan bayi berkenaan di dalam bilik air di rumah itu.

 

“Suspek juga mengaku bayi berkenaan hasil hubungan bersama suami dan telah mengandung tanpa pengetahuan keluarga serta melahirkan bayi tanpa memberitahu sesiapa,” katanya ketika dihubungi di sini.

 

Difahamkan empat lagi anak wanita tersebut berusia antara tujuh hingga 14 tahun manakala suaminya bekerja sebagai buruh kasar di kampung berkenaan.

 

Menurutnya, wanita berkenaan telah direman untuk siasatan lanjut termasuk memboleh­kan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dilakukan.

 

“Polis masih mengesan uri yang dibuang manakala bayi perempuan seberat 2.86 kilogram terbabit sekarang berada di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini,” jelasnya.

 

Sementara itu, pemilik rumah yang menjumpai bayi berkenaan, Zainol Hamid, 71, ber­kata, dia tidak me­nyangka bayi perem­puan tersebut dilahirkan oleh menantunya.

 

“Saya tidak tahu menantu saya mengandung, anak lelaki saya dan menantu tidak ada masalah, bergaduh pun jarang.

 

“Kalau pada hari bayi itu ditemui, menantu saya mengaku dia yang bersalin pasti saya akan bawa dia dan bayi tersebut ke hospital.

 

“Kalau dia beritahu tidak mahu bayi tersebut, saya boleh jaga bersama saudara-mara yang lain,” jelasnya.

 

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam kelmarin, Zainol yang merupakan pesawah terkejut apabila menjumpai bayi perempuan masih hidup di dalam mesin basuh di rumahnya. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.