Wanita Hamil Didapati Tidak Bersalah Bunuh Bayi Sendiri

Georgetown – Seorang wanita yang sedang hamil lapan bulan lega kerana tidak perlu melahirkan anaknya di dalam penjara apabila dia dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan membunuh bayinya sendiri yang baru lahir, di sebuah kilang lima tahun lalu.

Ketika keputusan itu dibacakan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Datuk Zamani Abdul Rahim, tertuduh, Nurul Syuhada, 24, dilihat tunduk sebelum menangis.

Nurul Syuhada, dari Parit Buntar, Perak, dituduh membunuh bayinya yang baru lahir dalam tandas wanita, sebuah kilang di Bayan Lepas, antara jam 3:30 hingga 7 pagi, 30 Dis 2009.

Dalam penghakimannya, Zamani berkata, kelahiran hidup tidak dapat dibuktikan pendakwaan dan kes pihak pendakwaan lemah apabila punca sebenar kematian bayi berkenaan tidak ditentukan.

“Setelah meneliti kes ini dengan berhati-hati, saya lebih cenderung untuk menerima versi tertuduh yang mungkin munasabah dan benar bahawa bayi itu sudah mati dalam kandungan sebelum ia dilahirkan yang mana itu tidak boleh dikira sebagai pembunuhan.

“Pihak pembelaan telah berjaya menimbulkan keraguan munasabah manakala pendakwa gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah dan saya dengan ini memerintahkan supaya tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” kata Zamani.

Ahli keluarga Nurul Syuhada kemudian dilihat berpelukan antara satu sama lain di luar mahkamah kerana terharu dengan keputusan itu manakala tertuduh pula berkali-kali mengucapkan terima kasih kepada peguam beliau S. Gunasegaran.

Pendakawaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Talib dan seramai 11 saksi pendakwaan telah dipanggil bagi memberi keterangan dalam kes itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.