Video: Lelaki Ditahan Polis Kerana Langgar Perdana Menteri

London – Seorang lelaki yang sedang berjoging ditahan polis kerana secara tidak sengaja melanggar Perdana Menteri Britain, David Cameron.

Dean Balboa Farley, 28, dikatakan terlanggar Perdana Menteri berkenaan di pekarangan luar Dewan Sivik Leeds kerana beliau berlari dalam keadaan menunduk sambil mendengar lagu menerusi ‘earphone’.

Dean berkata dia sedang berlari ke gimnasium ketika itu.

Dia kemudiannya dibebaskan oleh polis West Yorks selepas sejam apabila yakin insiden itu tidak bermotifkan jenayah.

“Saya tahu bagaimana rupa David Cameron tetapi saya mempunyai ‘ear phone’ di telinga dan sedang berlari. Saya juga pandang ke bawah dan tidak melihat atau mendengar sesiapa.

“Saya juga tidak sangka yang saya terlanggar seseorang. Saya sedar kemudian yang dia memang orang penting tetapi tidak tahu orang yang saya langgar itu adalah David Cameron,” ujar Dean.

Insiden itu sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai kawalan keselamatan ke atas Perdana Menteri Britain itu.

Walaupun pemimpin Parti Konservatif itu ternampak lelaki terbabit berlari ke arahnya, pengawal peribadinya bagaimanapun tidak menyedarinya sehingga berlaku kejadian itu.

Cameron juga dibiarkan berdiri bersendirian dan terdedah tanpa kawalan selama beberapa saat sebelum pegawainya mengapit dan membawanya masuk ke sebuah kereta yang sedang menunggu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.