Shafee Abdullah Beri Hujah Balas Petang Ini

Putrajaya – Ketua Pendakwa Raya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah tadi menjelaskan beliau dijadualkan akan memberikan hujah balas, petang esok (hari ini).

Shafee berkata, hujah beliau tidak akan dimulakan dengan keterangan saintifik iaitu merujuk kepada perkara berkaitan integriti DNA seperti dibangkitkan hari ini, namun ia hanya akan dilakukannya pada pagi Jumaat.

“Saya mungkin bermula (hujah) esok tengah hari, mungkin bermula 2.30 petang. Saya tidak mula dengan keterangan saintifik, keterangan saintifik mungkin saya akan buat hujahan pada Jumaat pagi.

“Saya akan ambil dua jam (hujahan saintifik itu),” katanya kepada media ketika keluar dari Bilik Bicara 1, Mahkamah Persekutuan Istana Kehakiman di sini, petang semalam.

Shafee juga menjangkakan keputusan rayuan kes liwat ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan diputuskan hakim Jumaat ini.

“Saya rasa keputusan bukan hari yang sama (Jumaat), sebab banyak yang hakim kena baca,” katanya.

Ditanya pandangannya mengenai pembabitan Datuk Seri Gopal Sri Ram yang juga bekas Hakim Mahkamah Persekutuan yang sudah bersara sebagai peguam bela dalam kes rayuan berkenaan, Shafee berkata ia adalah hak Gopal.

“Bagi saya terpulang kepada individu, kita tidak boleh buat apa-apa sekatan terhadap sesiapa pun termasuk bekas hakim.

“Kalau dia nak terus jadi peguam lepas bersara, itu hak dia. Kalau dia rasa terkilan, malas nak jadi peguam selepas duduki Mahkamah Persekutuan sebelum ini, terpulang juga kepada mereka,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.