Pulau Pinang Banjir: Kerajaan DAP Hanya Cakap Kosong – Huan

Georgetown – Keadaan pembangunan yang pesat di kawasan Bayan Baru dan Relau menjadi punca sering berlakunya banjir walaupun hujan turun dalam tempoh yang singkat.

Pengerusi Persatuan Rakyat Pulau Pinang, Datuk Huan Cheng Guan berkata selagi kerajaan Pulau Pinang tidak melaksanakan satu rancangan tempatan, masalah banjir di negeri itu tidak akan selesai.

“Selagi mereka tidak bertindak dan hanya menuding jari tanpa berbuat apa-apa, masalah di negeri ini tidak akan selesai.

“Lihat saja apa yang berlaku pada petang ini di Relau apabila berlaku banjir meskipun hanya hujan dalam tempoh yang pendek,” katanya.

Sambil menyifatkan kerajaan negeri pimpinan DAP itu hanya pandai bercakap kosong, Huan yang juga Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) berkata, rakyat tidak akan senang dengan kerajaan yang dipilih sekiranya kerajaan itu tidak melaksanakan pelan pembangunan yang jelas buat mereka.

“Dengan kata lain, tanpa melaksanakan Rancangan Tempatan Pulau Pinang, rakyat tidak akan mendapat manfaat daripada apa yang sepatutnya mereka dapat.

“Tiada siapa yang akan tahu perkara itu dan ia akan menjadi sesuatu yang sangat sukar untuk diambil tindakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, adalah sesuatu yang tidak boleh untuk dipercayai apabila Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tembatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Cow Kon Yeow yang mengatakan bahawa kerajaan negeri sedang berusaha menyelesaikan masalah saliran dan dalam menangani masalah banjir.

“Tetapi bagaimana dengan Rancangan Tempatan yang mempunyai kesan-kesan yang luas dan lebih besar untuk kemajuan negara?

“Adakah itu alasan yang diberikan oleh kerajaan negeri dalam menentukan pelaksanaan rancangan tempatan Pulau Piang seperti satu tindakan sambil lewa,” soalnya.

Beliau berkata, situasi itu akan berterusan dan penduduk Pulau Pinang akan terus berdepan dengan sikap acuh tak acuh kerajaan negeri yang terang-terangan mengabaikan kebajikan rakyat di negeri itu.

Sementara itu, sebagai langkah segera beliau telah mengarahkan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) untuk memperbetulkan lencongan saliran Sungai Relau yang menyebabkan banjir di hadapan sebuah sekolah rendah di situ.

“Projek itu akan berhubung denga kerja-kerja pengalihan sungai yang dilakukan oleh pemaju di Jalan Dato Ismail Hashim dan Jalan Terubong Paya berhampiran persimpangan projek segitiga emas,” ujarnya.

Beliau berkata selepas perbincangan awal di antara wakil-wakil teknikal, MPPP telah diarahkan untuk mengadakan pertemuan darurat teknikal esok pagi.

“Pemaju dan perunding mereka akan diheret sehingga merangka pelan pemulihan segera untuk mengelakkan masalah itu daripada berulang,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.