Pesta Hantu Halloween: Penganjur Perlu Buat Permohonan

Seremban – Penganjur Malam Halloween di Sekolah Rendah Antarabangsa Matrix, Bandar Sri Sendayan, di sini perlu membuat permohonan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) sebelum boleh menganjurkan program berkenaan yang dijadualkan berlangsung Jumaat ini.

Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan, Datuk Kalsom Khalid berkata, pihak pengurusan sekolah itu sudah diarahkan membuat permohonan segera untuk dipertimbangkan.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan membenarkan program itu berlangsung sekiranya tidak mendapat kelulusan.

Selain itu, katanya, perbincangan mengenai perkara tersebut sudah pun dilakukan antara wakil jabatan dengan sekolah terbabit bagi mengelakkan timbul sebarang isu mengundang rasa kurang senang pelbagai pihak.

“Kita sudah menjalankan siasatan berhubung program Malam Halloween itu bersama pihak sekolah. Mereka berjanji akan menghantar surat permohonan kepada jabatan dalam masa terdekat ini.

“Kita akan meneliti permohonan tersebut dengan teliti mengikut prosedur sedia ada. Namun, sekiranya terdapat sebarang masalah berkaitan program itu, kemungkinan besar kita tidak luluskan dan program itu tidak akan berjalan,” katanya di sini, semalam.

Kalsom bagaimanapun berkata, beliau difahamkan Malam Halloween itu hanya berlangsung sebagai program dalaman membabitkan pelajar sekolah itu dan tidak dibuka kepada orang awam.

“Semua gegantung dan kain rentang yang dipasang sekitar bandar ini juga sudah diturunkan kerana tidak mendapat kelulusan daripada JPNS,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengelola yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Matrix International School, Felix Lee Eng Boon dalam kenyataan yang dihantar kepada Sinar Harian menyatakan, sambutan Malam Halloween yang dirancang adalah program dalaman untuk pelajar dan ibu bapa sekolah tersebut.

“Program ini adalah selaras dengan falsafah kami untuk mendedahkan dan mendidik pelajar tentang perayaan antarabangsa dan budaya seluruh dunia.

“Kami ingin menyatakan Matrix International School mempunyai rasa hormat yang tinggi pada semua bangsa dan agama, separti yang dilihat dalam tindakan segera kami menurunkan semua bunting dan banner yang berkaitan acara ini pada hujung minggu lalu,” katanya.

Beliau turut menegaskan kegiatan yang dirancang itu adalah semata-mata untuk tujuan pendidikan pelajar sekolah tersebut. – Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.