Penyokong Saiful Terus Berhimpun Di Istana Kehakiman

Putrajaya – Dianggarkan kira-kira 500 penyokong Mohd Saiful Bukhari Azlan meneruskan himpunan mereka di pekarangan Istana Kehakiman, di sini pagi ini.

Mereka yang berhimpun seawal jam 10.50 pagi tadi, terus menuntut supaya keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini bersabit kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dikekalkan.

Sambil melaungkan kata-kata “Tangkap Anwar” berulang kali, mereka mendakwa perhimpunan itu dibuat sebagai tuntutan bela kepada kezaliman yang berlaku ke atas Saiful.

Malah, sebahagian penyokong juga menyatakan kesediaan untuk terus berhimpun di Istana Kehakiman sehingga keputusan rayuan oleh panel lima hakim Mahkamah Persekutuan itu diumumkan, dijangka Jumaat ini.

Pada 24 April lalu, Anwar, 67, mengemukakan petisyen rayuan terhadap hukuman penjara lima tahun atas kesalahan liwat di Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan dengan mengemukakan 35 alasan mengapa sabit kesalahan dan hukuman ke atasnya harus diketepikan.

Ia susulan keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac lalu membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 Januari 2012 yang membebaskan Anwar daripada pertuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful di sebuah unit kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara di sini antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan keputusan Mahkamah Rayuan, sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan dan membenarkan Anwar diikat jamin RM10,000.

Sementara itu, di satu lagi lokasi perhimpunan oleh penyokong Anwar, mereka mengadakan ceramah, disampaikan beberapa pemimpin pembangkang seperti Naib Presiden PKR, Tian Chua dan Dr Xavier Jayakumar; Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Fariz Musa; Bekas EXCO DAP Selangor, Ronie Leu serta aktivis pelajar.

Sebahagian penyokong mereka juga berkumpul di sepanjang jalan dan tepi bangunan, selain ada sebahagiannya mengambil kesempatan menjual baju T tertera tulisan “Rakyat Hakim Negara”.

Kira-kira 100 anggota polis termasuk pasukan unit Light Strike Force (LSF) turut mengawal sekitar perkarangan Istana Kehakiman.

Keadaan lalu lintas sehingga ke tengahari ini masih lancar dan tiada sebarang kerosakan harta awam dilaporkan pihak polis setakat jam 11.50 pagi tadi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.