Penyokong Saiful Bukhari Azlan tidak gusar

Putrajaya – Sekalipun jumlah mereka tidak seramai penyokong Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun penyokong bekas pembantu Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan tidak gusar dan menyifatkan kehadiran mereka di Kompleks Istana Keadilan sebagai santai.

Wakil kumpulan penyokong Saiful, Shamsudin Bahaman, 58, berkata kehadiran mereka bukan sahaja bagi menyokong Saiful tetapi juga pihak kerajaan.

Menurut Shamsuddin, mereka datang secara sukarela dan tidak berhajat menimbulkan sebarang huru-hara sekaligus menepis dakwaan yang tersebar terutamanya di media sosial bahawa penyokong Saiful sebenarnya dibayar untuk hadir ke Mahkamah Persekutuan.

“Selain memberi sokongan kami menganggap ini sebagai aktiviti berkelah bersama keluarga.

“Kami sentiasa berdoa supaya semuanya berjalan dengan lancar dan tiada hura-hara seperti pihak di sebelah sana.

“Kami tidak menerima upah ataupun dibayar untuk berada di sini. Semuanya dengan kerelaan hati,” tegas beliau yang bekerja sendiri dan datang bersama keluarganya.

Kira-kira 30 penyokong Saiful berkumpul di bahagian kiri Istana Kehakiman iaitu kira-kira 500 meter daripada penyokong Anwar.

Kebanyakan mereka membawa sepanduk yang tertera slogan menggesa Anwar dan PKR agar tidak memberi tekanan atau mengugut mahkamah, serta menghormati apa juga keputusan hakim, selain menuntut keadilan diberikan juga kepada Saiful.

Kata Shamsuddin, beliau dan penyokong Saiful yang lain juga akan akur jika keputusan Mahkamah Persekutuan tidak berpihak kepada bekas pembantu Anwar itu.

Beliau bagaimanapun berpendapat Anwar tidak sepatutnya mengheret penyokong beliau beramai-ramai ke mahkamah sepanjang perbicaraan kes rayuan liwat II beliau berjalan kerana tindakan itu hanya menimbulkan ketegangan.

Menurutnya, perbicaraan kes membabitkan ketua pembangkang itu perlu dijalankan dengan aman tanpa huru-hara di luar mahkamah.

Beliau juga berharap penyokong Anwar tidak mencetuskan huru-hara jika mahkamah mengekalkan sabitan bersalah Ahli Parlimen PKR Permatang Pauh itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.