Penanggal, Tanda Putera Rangkul Anugerah FFM 26

Petaling Jaya – Filem Penanggal dan Tanda Putera masing-masing merangkul dua anugerah daripada 11 kategori yang dipertandingkan pada Malam Perasmian, Festival Filem Malaysia ke 26 (FFM 26) yang berlangsung di Hotel Empire Subang, di sini, malam Rabu.

Filem Penanggal terbitan Astro Show & Grand Brilliance memenangi kategori utama iaitu Pengarah Harapan yang dimenangi oleh Ellie Suriaty dan Penataan Seni Terbaik melalui Nazrul Asraff.

Trofi disampaikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Jailani Johari.

Manakala, filem Tanda Putera terbitan Pesona Pictures memenangi anugerah kategori Pereka Kostum / Busana Terbaik dan Skor Muzik Asal Terbaik.

Sementara itu, bagi kategori Pelakon Kanak-Kanak Terbaik, ia dimenangi oleh Rykarl Iskandar (Ajiboy) dan Lagu Tema Asal Terbaik dimenangi lagu Aku Datang nyanyian Tomok untuk filem Istanbul Aku Datang.

Anugerah Poster Terbaik pula jatuh kepada filem KIL.

Bagi Filem Pendek Terbaik pula, ia dimenangi filem Jahit terbitan Reservoir Production. Tiada pemenang diumumkan bagi kategori Filem Animasi Terbaik berikutan hanya terdapat tiga pencalonan sahaja.

Anugerah khas bagi Penggiat Belakang Tabir pula diberikan kepada Jurukamera, Ali Husin.

Majlis tersebut dihoskan oleh Shahrul Shiro dan Didie Alias.

Turut hadir, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Datuk Md Affendi Hamdan dan pemangku Ketua Pengarah Finas, Dr Megat Al Imran Yassin.

Sementara itu 13 lagi anugerah utama akan disampaikan pada malam kemuncak FFM 23 yang akan di adakan di Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad di Seremban, Negeri Sembilan pada Sabtu ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.