Peluncur Nyaris Maut Digigit Jerung

Australia – Seorang peluncur digigit jerung selepas tidak sengaja terpijak haiwan berkenaan. Bagaimanapun dia berjaya melepaskan diri selepas menendang haiwan berkenaan.

Ryan Hunt, 20, meluncur di Wallabi Point di selatan Port Macquarie selepas pulang daripada kerja petang semalam.

Menurutnya, semasa kejadian dia terperangkap dalam ombak menyebabkan dia berhenti meluncur dan secara tidak sengaja terpijak haiwan berkenaan.

“Saya berada dalam air separas pinggang, pada mulanya saya fikir ia batu sebelum ia tiba-tiba menggigit sebelah kaki saya.

“Saya kemudian menendang haiwan berkenaan dengan satu lagi kaki, dan haiwan berkenaan melepaskan kaki saya, namun menggigitnya semula.

Hunt memberitahu, dia terpaksa menendang haiwan tersebut beberapa kali untuk melepaskan diri, sebelum berjaya naik ke pantai dan diberikan rawatan kecemasan oleh rakan-rakannya yang berada di situ.

Dia dijadualkan untuk menjalani pembedahan pada luka kaki kirinya hari ini.

Hunt yang baru pulang daripada pertandingan meluncur di Jepun, sempat memuat naik gambar kakinya selepas digigit  jerung itu ke laman sosial.

Sementara itu, pengkaji menyatakan serangan serung yang sering berlaku di perairan Australia meningkat semenjak sukan air popular di kawasan berkenaan.

Awal tahun ini, dua jerung putih dibunuh selepas menyerang seorang peluncur, menyebabkan mangsa kehilangan kedua-dua lengan dalam kejadian tersebut.

Manakala satu lagi kes, seorang lelaki dibaham jerung dihadapan isterinya ketika berenang di Byron Bay pada September lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.