MPK: Saman RM10 Kalau Buang Puntung Rokok Suka Hati

Klang – Saman RM10 menanti orang ramai yang membuang puntung rokok sesuka hati di Pusat Bandar Klang.

Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Klang (MPK), Datuk Mohammad Yacob berkata saman itu akan dikeluarkan serta merta kepada pesalah sebagai pengajaran tindakannya mencemari kawasan bandar.

“Sungguhpun puntung rokok itu kecil, tetapi kita mahu orang ramai maklum bahawa MPK serius dalam soal kebersihan. Sebab itu kita tegas menjalankan penguatkuasaan ke atas kutu-kutu sampah ini.

“Kita tidak mahu sikap sambil lewa ini terus menjadi budaya yang akhirnya orang ramai kembali menunding jari kepada MPK kononnya kami gagal menjaga kebersihan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam program turun padang bersama Exco Kerajaan Tempatan Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru, Ean Yong Hian Wah meninjau beberapa lokasi sampah haram di wilayah seliaannya di sini, semalam.

Mengulas lanjut,  beliau berkata MPK juga telah memulakan aktiviti pembersihan bersama dengan penyewa gerai makan dan pasar di bawah seliaannya.

Katanya, MPK juga sedang mengkaji kewajaran mengenakan tindakan tegas dengan menamatkan kontrak sewaan kepada mana-mana penyewa gerai dan pasar yang pengotor.

“Tujuannya sudah tentu untuk memastikan semua penyewa patuh dengan arahan dan tiada kompromi dari MPK buat pesalah seperti itu.

“Jadi, untuk kepentingan semua, MPK harap penyewa terus displin menjaga kebersihan tempat mereka berniaga sekaligus menjadikan kawasan tumpuan orang ramai itu kekal bersih untuk dikunjungi,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.