Lelaki Maut Kereta Dirempuh Pacuan Empat Roda

Kota Tinggi – Seorang lelaki maut manakala isteri dan dan anak lelakinya hanya mengalami cedera ringan setelah kereta Proton Wira yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 48.3, Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi berhampiran Felda Air Tawar 1, pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.40 petang itu, mangsa, Hanaffee Harun, 54, yang duduk di sebelah pemandu meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit.

Mangsa yang maut dihantar ke Unit Perubatan Forensik Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Semaloi, Penyabung, Endau, Mersing, hari ini.

Sementara itu, anak keempat pasangan terbabit yang turut berada dalam kereta tersebut, Hamidi Hanaffee, 20, berkata semasa kejadian hujan agak lebat dan sebaik tiba di lokasi sebuah pacuan empat roda telah memasuki laluan mereka secara tiba-tiba.

“Kejadian berlaku terlalu pantas dan saya hanya sempat mengelak sedikit sahaja. Akibat pelanggaran itu ayah tersepit dan meninggal di situ juga.

“Tiada perubahan ketara pada ayah tetapi masih terngiang-ngiang akan gelak ketawanya ketika mengusik ibu yang melatah semasa di bandar tadi,” katanya semasa ditemui di Unit Perubatan Forensik Hospital Kota Tinggi di sini.

Sementara itu Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, DSP Low Hang Seng ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Katanya, siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku apabila kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dari arah Sungai Rengit telah masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung kenderaan yang dinaiki mangsa.

Kemalangan itu mengakibatkan mangsa yang duduk di bahagian penumpang hadapan meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.