Lelaki Malaysia Malas, Di Kelantan Wanita Bekerja Lelaki Duduk Kedai Kopi – Dr Mahathir

Kuala Lumpur – Wanita merupakan satu golongan yang sangat pantas dalam mendahului kaum lelaki pada masa ini dan peranan mereka sebagai kaum yang sepatutnya berada di rumah boleh beralih kepada kaum Adam.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed berkata walaupun bilangan lelaki boleh dikatakan sama banyak dengan wanita tetapi golongan hawa ini lebih banyak memasuki institusi pengajian tinggi berbanding lelaki.

“Ini menimbulkan masalah kerana semakin ramai wanita kini terpaksa berkahwin dengan orang-orang yang mempunyai kelayakan yang lebih rendah.

“Wanita pula menjadi golongan yang produktif dan gaji mereka lebih tinggi serta menjadi pencari nafkah dalam keluarga manakala lelaki pula duduk di dapur,” katanya kepada peserta Forum Wanita Luar Biasa 2014 (WEF 2014) di Pusat Konvensyen Sime Darby hari ini.

Beliau turut menerima sorakan yang kuat daripada peserta wanita yang hadir.

Bapa pemodenan itu turut berseloroh dengan menyarankan agar pendidikan kemahiran di rumah diajarkan kepada pelajar lelaki agar mereka boleh menjadi suami yang baik di rumah.

Beliau juga berkata bahawa orang-orang Malaysia terlalu malas, dengan memberikan contoh masyarakat di Kelantan.

“Di Kelantan, anda boleh melihat wanita yang bekerja keras sebaliknya kaum lelaki duduk di kedai-kedai kopi, merokok dan sebagainya,” katanya.

Beliau bagaimanapun, melahirkan kebimbangan sekiranya golongan wanita fokus terhadap kerjaya akan timbul pula masalah lain apabila anak-anak yang ditinggalkan akan terdedah dan terpengaruh masalah negatif dalam masyarakat.

“Suami dan isteri yang bekerja, tidak akan dapat memberikan masa yang berkualiti untuk anak-anak mereka.

“Kanak-kanak itu akhirnya akan pergi kepada rakan-rakan untuk mendapatkan nasihat dan jika salah pendedahan itu yang banyak berakhir dengan menjadi mat rempit,” ujarnya.

Beliau turut berharap agar pihak sekolah dapat memperkenalkan satu kelas yang dapat mendidik para pelajar dengan nilai hidup yang baik dan betul.

“Kerajaan harus mempertimbangkan untuk mengadakan satu kelas yang fungsinya memberikan didikan dalam membantu menyemai nilai-nilai yang baik kepada anak-anak selain daripada kelas-kelas agama dan moral,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.