Kerajaan Harus Kaji Semula Peranan Pemandu

Kuala Lumpur – Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) harus dikaji semula peranannya, kerana ia bertindih dengan peranan kementerian tertentu, kata seorang Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) pada Rabu.

Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir (BN-Kulim Bandar Baharu) mendakwa kementerian tertentu berpendapat bahawa Pemandu telah mengambil alih peranan mereka sehingga menyebabkan berlaku perselisihan faham diantara mereka.

“Tidak ada komunikasi yang baik dengan kementerian. Terdapat banyak pertindihan dan arahan tidak jelas,” katanya.

Abdul Aziz berkata, Pemandu perlu menjadi sebahagian daripada keseluruhan sistem yang tidak berlaku pada masa ini. Situasi itu boleh menyebabkan kerajaan dipandang punyai ketidakcekapan dalam pentadbiran negara.

“Sebagai contoh, apabila Pemandu mengeluarkan laporan mengenai standard cara hidup rakyat Malaysia, ia amat berbeza dengan apa yang diperkatakan oleh Kementerian Kewangan atau Bank Negara.

“Ini mewujudkan kekeliruan, bukan sahaja di kalangan rakyat, tetapi juga kakitangan kerajaan ketika melaksanakan perancangan tertentu,” katanya.

Pemandu adalah satu unit dibawah Jabatan Perdana Menteri yang menyelia pelaksanaan, menilai kemajuan, memudahcara serta menyokong penyampaian dan memacu kemajuan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.