Duti Hiburan Dilabur Kembali Dalam Industri Kreatif, Bukan Selenggara Longkang Dan Jalan Raya

Kuala Lumpur – Duti hiburan hasil penjualan tiket wayang yang dikutip kerajaan negeri selama ini perlu dilabur kembali dalam industri kreatif dan bukan untuk menyelenggara longkang dan jalan raya, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata perkara itu adalah antara cadangan penggiat industri kandungan kreatif yang perlu diberi perhatian oleh pihak berwajib demi pembangunan dan kemajuan industri itu.

“Mereka bertanya, jika ingin tambah dana, cara apakah lagi yang ada selain dana yang diberikan kepada mereka ketika ini.

“Adakah cukai hiburan itu boleh digunakan kerajaan negeri untuk perkara selain baiki longkang dan jalan raya atau dilabur untuk membantu mereka.

“Saya difahamkan setakat ini tiada. Maka mereka bertanya adakah kita boleh buat dasar baharu agar ia (duti cukai hiburan) dikembalikan kepada industri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Hala Tuju, Transformasi Industri Kandungan Kreatif di Subang, dekat sini pada Khamis.

Ahmad Shabery berkata dasar mengembalikan duti hiburan telah diguna pakai di negara lain seperti Korea dan kementerian tidak melihat ia menjadi masalah untuk turut digunakan di negara ini namun menuntut perubahan dasar dari semua peringkat untuk menjayakannya.

Menurutnya, industri kandungan kreatif ini perlu dibangunkan di peringkat akar umbi dan tidak semestinya bermula dari atas (kepimpinan dan pentadbiran) jika ia ingin terus kekal mendapat sambutan dan respons masyarakat tempatan dan antarabangsa.

Sementara itu, Ahmad Shabery berkata pihaknya menjangkakan Majlis Perundingan Industri Kandungan Kreatif akan mula beroperasi mulai tahun depan.

“Kementerian di peringkat akhir menyelesaikan beberapa perkara antaranya keanggotaan dan syarat kemasukan ahli… Jadi, majlis itu akan digunakan sebagai platform dan akan ada interaksi dengan penggiat industri secara berskala, selain perubahan dasar demi membangunkan industri tersebut.

“Ia juga satu proses penglibatan berterusan yang perlu diadakan segera kerana konsep industri kreatif semakin banyak berubah dan luas seperti iklan, aplikasi, games dan filem,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Shabery berkata forum ini mampu mengenal pasti dan mencari penyelesaian kepada isu, cabaran dan permasalahan dalam transformasi industri kandungan kreatif negara.

Forum ini dihadiri para penggiat industri kandungan kreatif yang terdiri daripada ahli Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), persatuan perfileman, animasi, pekerja belakang tabir, stesen televisyen dan semua pihak yang terlibat secara langsung dalam industri. ‘

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.