Datuk Azaliza Dilantik Peguam Cara Negara Berkuatkuasa November Ini

Putrajaya – Timbalan Peguam Cara Negara I Datuk Azailiza Mohd Ahad dilantik sebagai Peguam Cara Negara yang baharu berkuat kuasa 1 Nov.

Pelantikan Azailiza sebagai Peguam Cara Negara ke-17 bagi menggantikan Tan Sri Idrus Harun yang dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan September lepas, diumumkan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail pada perhimpunan bulanan Pejabat Peguam Negara di sini hari ini.

Azailiza, yang pernah memegang jawatan Ketua Hal Ehwal Antarabangsa Bahagian di Jabatan Peguam Negara Malaysia pada 2005, banyak terlibat dalam isu-isu perdagangan antarabangsa termasuk penyertaan Malaysia dalam perundingan dan membuat perjanjian perdagangan bebas.

Beliau pernah terlibat dalam rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Malaysia dengan Kesatuan Eropah, Perjanjian Kerjasama Perkongsian (PCA) Malaysia-Kesatuan Eropah dan FTA antara Malaysia dan Amerika Syarikat.

Azailiza juga terlibat menyelesaikan pertikaian membabitkan Malaysia di hadapan Tribunal Antarabangsa bagi Undang-undang Laut, pertikaian kedaulatan di hadapan Mahkamah Keadilan Antarabangsa pada 2007, dan resolusi lanun dan kes rampasan melibatkan kapal-kapal Malaysia di Teluk Eden.

Abdul Gani pada perhimpunan bulanan itu turut mengumumkan pelantikan Timbalan Peguam Cara II Datuk Tun Abd Majid Tun Hamzah, yang terkenal mengendalikan beberapa kes pendakwaan berprofil tinggi, ke jawatan Timbalan Peguam Cara I bagi sektor litigasi.

Antara kes berprofil tinggi melibatkan Tun Abd Majid ialah kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu; kes rasuah Tan Sri Kasitah Gaddam dan kes Tan Sri Eric Chia Eng Hock; kes pembunuhan isteri kedua Raja Di-Hilir Perak, Hasleeza Ishak; kes bunuh wakil rakyat oleh Mona Fandey dan kes militan al-Ma’unah.

Tun Abd Majid pernah memegang jawatan Ketua Bahagian Pendakwaan pada 2009 sebelum dilantik sebagai Timbalan Peguam Cara Negara II pada 2 April 2012.

Abdul Gani turut mengumumkan pelantikan Timbalan Peguam Cara III Datuk Engku Nor Faizah Engku Atek ke jawatan Timbalan Peguam Cara II bagi sektor perundangan dan pelantikan ketua bahagian penasihat Datuk Khadijah Idris ke jawatan Timbalan Peguam Cara III bagi sektor penasihat.

Turut diraikan dalam majlis perhimpunan itu ialah penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah 2014, Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman, yang merupakan penasihat perundangan Syariah di Jabatan Peguam Negara sejak April 2008.

Sheikh Ghazali pernah menyandang jawatan Hakim Mahkamah Tinggi sebelum persaraannya pada tahun 1993. Beliau juga pernah berkhidmat secara kontrak sebagai Ketua Hakim Syarie sejak 1994.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.