Cadangan Tubuh Koperasi Bertujuan Galak Penggiat Industri Kreatif

Kuala Lumpur – Cadangan penubuhan Koperasi Kreatif Berhad (KKB) bertujuan menjadi platform kepada penggiat industri kreatif tanah air untuk terlibat dalam pelbagai aktiviti perniagaan berteraskan industri kreatif, sekaligus meningkatkan tahap sosio-ekonomi mereka, kata Pengerusi Penaja KKB Mohd Najib Jaafar.

Beliau berkata KKB merupakan pusat sehenti yang memberi peluang kepada anggotanya yang terdiri daripada syarikat produksi tempatan, termasuklah karyawan belakang tabir seperti penerbit, pengarah, penulis skrip dan jurukamera bebas untuk bergabung tenaga dan kepakaran demi kepentingan koperasi.

“Perjalanan koperasi ini lebih menjurus kepada aktiviti pelaburan ahli dalam bentuk kewangan kepada koperasi yang seterusnya akan mendapat pulangan dalam bentuk dividen hasil pelaburan yang dijalankan.

“Pada peringkat permulaan koperasi akan melibatkan diri dalam perniagaan penyediaan kandungan industri kreatif dan penyediaan perkhidmatan produksi sebagai sumber utama pendapatan,” katanya semasa berucap pada mesyuarat agung permulaan penubuhan KKB di sini hari ini.

Mohd Najib berkata dana yang dimiliki koperasi mampu membiayai pelbagai aktiviti perniagaan sekaligus memberi pulangan besar kepada anggotanya sekiranya dikendalikan secara optimum.

KKB juga seharusnya berani meneroka bidang yang berasaskan teknologi maklumat dan komunikasi, sekali gus membolehkannya bergerak dalam skala yang lebih besar, katanya merujuk kepada cadangan menubuhkan stesen televisyen digital, KKB TV, pada Januari 2015.

Katanya antara perniagaan KKB kelak termasuklah penerbitan filem dan rancangan televisyen, pembikinan video korporat, perkhidmatan sewa peralatan penggambaran, pembiayaan dan pinjaman kewangan produksi, perkhidmatan pasca penerbitan, sewaan studio penggambaran, pengurusan produksi dan pengiklanan.

Selain itu, kursus jangka pendek berkaitan produksi, penulisan skrip, pengendalian kamera dan lain-lain perkhidmatan berkaitan turut ditawarkan kepada agensi kerajaan dan swasta, termasuk orang awam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.