Azmin Paling Layak Ganti Anwar

Shah ALam – Penganalisis politik meramalkan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali individu paling layak mengemudi parti itu jika Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan.

Timbalan Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara, Prof Dr Jayum Jawan berkata, parti yang diasaskan pada 1999 itu sudah miliki ‘nyawa sendiri’ meskipun tanpa Anwar.

“Kita tahu Presiden PKR adalah Datuk Seri Wan Azizah, tapi beliau bukanlah pengemudi PKR. Wan Azizah tidak lagi relevan kerana beliau tidak mempunyai kebolehan memimpin. Beban itu akan jatuh ke bahu Azmin yang mengisi posisi timbalan presiden,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Jayum yang juga Timbalan Dekan Pengajian Siswazah Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, Azmin paling sesuai untuk memimpin PKR meskipun belum memiliki aura seperti Anwar yang dilihat sebagai pengikat dalam gabungan PR.

Bagaimanapun katanya, inilah masa untuk Azmin buktikan kemampuan dan potensi kepada pimpinan PR dan juga rakyat.

“Beliau dinasihatkan menghulur tangan kepada pimpinan tertinggi dalam PKR seperti Saifuddin Nasution Ismail, Rafizi Ramli dan beberapa lagi. Dengan cara ini, beliau akan memimpin dengan tenang. Dalam masa sama, Azmin perlu pastikan kerjasama dengan Pas dan DAP sentiasa positif,” katanya. – Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.