Australia Siasat Kematian Rakyatnya Yang Sertai IS

Sydney – Canberra sedang berusaha mengesahkan laporan mengenai kematian rekrut paling kanan Negara Islam (IS) di Australia, kata Menteri Luar, Julie Bishop hari ini.

Perbadanan Penyiaran Australia (ABC) berkata, Mohammad Ali Baryalei, kelahiran Afghanistan, dipercayai terbunuh dalam satu pertempuran baru-baru ini.

Baryalei dituduh mengarahkan supaya dilakukan ‘pembunuhan’ di Australia dengan tujuan untuk menimbulkan ketakutan, termasuk memancung kepala orang awam.

“Kami sedang berusaha untuk mengesahkan laporan berkenaan, jadi saya tidak dapat membuat pengesahan pada peringkat ini,” kata Bishop.

Katanya, kerajaan Australia sentiasa mengingatkan rakyatnya bahawa mereka yang meninggalkan negara ini untuk berjuang di Iraq dan Syria sebenarnya meletakkan diri sendiri dalam bahaya.

“Mereka menghadapi risiko dibunuh. Mereka juga melanggar undang-undang Australia.

“Mereka menambahkan penderitaan rakyat Iraq dan Syria dan kemungkinan memperoleh pengalaman mengenai keganasan,” katanya.

Bishop berkata kerajaannya menggesa rakyat Australia yang masih muda agar tidak menyertai kumpulan radikal dan pada masa sama, mempertahankan penggubalan undang-undang baharu bertujuan menghalang warga Australia daripada melakukan perjalanan ke luar negara untuk menyertai konflik.

“Kita perlu memastikan bahawa agensi keselamatan dan perisikan mempunyai segala kuasa yang ada bagi mengelakkan rakyat Australia daripada menyertai konflik ganas, tetapi sekiranya mereka masih melakukannya, mereka boleh ditahan, didakwa dan dipenjarakan,” kata Bishop kepada Kelab Akhbar Nasional. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.