Wanita Maut Selepas Nekad Terjun Jambatan

KUALA LANGAT – Mayat seorang wanita ditemui selepas 34 jam hilang selepas nekad terjun daripada jambatan Telok Datok, Banting di sini, pagi tadi.

Mayat, P. Sinnamah, 49, ditemui terapung dalam keadaan tertiarap dengan lengkap berpakaian berhampiran tokong Cina Teluk Bunut pukul 9 pagi.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati mangsa yang mempunyai masalah mental bertindak terjun dari jambatan tersebut kira-kira pukul 11.20 malam, Sabtu lalu.

Difahamkan mangsa sebelum ini pernah beberapa kali mengugut untuk membunuh diri.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) disertai pasukan Penyelamat di Air (PPDA) telah melakukan pencarian di tepi tebing sungai sekitar tempat mangsa terjun.

“Mayat mangsa kemudiannya ditemui orang awam berhampiran tokong Cina Teluk Bunut pada jarak kira-kira 10 kilometer dari lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Jelas beliau, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Banting untuk bedah siasat.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – Kosmo!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.