Wakilnya, Tun Faisal Ismail Aziz merasakan mungkin segala kebajikan yang telah ditawarkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini dalam bentuk pembelaan seperti menyediakan rumah mampu milik bukan kehendak sebenar pengundi bandar.

Malah, beliau yang pernah menganggotai sebuah organisasi yang dipercayai merujuk kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), turut meminta maaf akibat kegagalan untuk menjelaskan pelbagai isu yang membelenggu kerajaan BN sehingga membuatkan majoriti rakyat menukar kerajaan.

“Di atas kekalahan ini, kami meminta maaf kerana terkhilaf dalam membaca kehendak pengundi bandar, terutama golongan muda,” katanya ketika membahaskan usul ucapan dasar Presiden dalam Perhimpunan Agung UMNO 2018 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun percaya UMNO boleh bangkit, termasuk menggunakan bantuan media pro-UMNO seperti akhbar Utusan Malaysia bagi melaporkan berita yang adil untuk parti Melayu terbesar itu. – UTUSAN ONLINE