UMNO Selesa Dalam Gagasan Politik Pembangkang, Tingkatkan Undi Rakyat

KUALA LUMPUR: UMNO lebih selesa berada dalam gagasan politik pembangkang dan tidak sama sekali menggunakan ‘pintu belakang’ untuk menjadi kerajaan.

Penegasan itu dibuat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berikutan ramai yang salah tafsir mengenai kerjasama dan pemuafakatan politik parti itu dengan beberapa parti politik.

Katanya, pada masa ini UMNO lebih selesa berada dalam saf gagasan pembangkang.

“Permuafakatan politik ini soal perpaduan pembangkang di semua peringkat parti dari akar umbi, negeri sehingga ke peringkat tertinggi dan nasional .

“Kalau kita kuat dalam gagasan pembangkang, insya-Allah angka pengundian menyaksikan lebih lima juta pengundi sedia bersama dengan kita,” katanya dalam ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, usaha memperkukuhkan gagasan pembangkang perlu dilakukan segera bagi meraih sokongan pengundi lebih-lebih lagi kerana faktor ketidakpuasan hati pengundi terhadap janji palsu Pakatan Harapan (PH).

“Faktor itu (ketidakpercayaan pengundi kepada PH) bakal menyaksikan perangkaan pengundi menyokong UMNO dan BN bertambah.

“Kita semua telah bersatu untuk menjuarai isu-isu rakyat. Penyatuan ini adalah penyatuan pemikiran dan tindakan,” katanya.

Beliau menegaskan UMNO tidak harus jumud kerana parti politik bukan statik.

Ahmad Zahid berkata, beliau meletakkan parti sebagai ‘government in waiting’ (kerajaan menunggu) tetapi tidak meletakkan jangka waktu khusus untuk berbuat demikian kerana tidak tahu apa yang akan berlaku pada tahun-tahun mendatang dengan adanya beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK).

“Percaturan kita akan berbeza berdasarkan keputusan PRK yang ada nanti,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.